Saturday, December 22, 2012

JANGAN TAKUT FILEM TAK LAKU - KATA GARIN NUGROHO DI FINAS


Sutradara tersohor Indonesia, Garin Nugroho Riyanto , 51, berpesan, jangan takut sekiranya filem  yang dihasilkan itu tidak dapat memikat penonton. Memandangkan pembikinan filem boleh jadi untuk tujuan lain yang lebih baik, yakni  mendidik masyarakat. 

Hampir kebanyakan filem karya  Garin membawa tema yang pelbagai seperti politik, kenegaraan, keagamaan, kemanusiaan, kebudayaan, sosial dan kemasyarakatan.

Dalam Master Class yang dikendalikannya di Finas, Hulu Kelang, beliau menerangkan tujuan membuat filem boleh di bahagikan kepada tiga iaitu  :

1. Penemuan dari segi artistik, teknologi atau nilai [Discovery]
2. Pendidikan dari segi sosial, politik dan budaya [Education]
3. Pulangan kewangan samada jualan tiket di pawagam atau menarik sumber dana daripada organisasi. [Economy]

Filem yang baik adalah yang merangkumi ketiga-tiga di atas, atau salah satu daripadanya. Manakala filem yang buruk ialah filem yang tiada ketiga-tiganya.

Peserta Master Class berkesempatan menonton buah tangan terbaharu beliau,  Mata Tertutup yang akan terbit pada tahun hadapan. Filem ini dibiayai oleh pertubuhan Islam, Muhammadiyah, bertujuan  menerangkan bahaya fahaman radikal yang melanda golongan muda terpelajar Indonesia.  Ia telah pun ditayangkan di sekolah-sekolah menengah untuk tujuan pendidikan. Bagi Garin, isu ini sukar diterangkan kepada golongan muda melalui seminar-seminar. Justeru, pembikinannya untuk kelumpuk sasaran amat bertepatan pada masanya.

Peserta juga menonton Opera Jawa [2006] yang dalam kategori "artistic discovery"; Rindu Kami Pada Mu [2004], sebuah filem agama yang lain dari lain [tidak klise];  dan Aku Ingin Mencium Mu Sekali Sahaja [2002] tentang usaha-usaha ke arah perdamaian di daerah krisis Papua, Indonesia  [Dikenali juga sebagai Irian Jaya].

Hanya satu sahaja filemnya yang dibiayai oleh industri perfileman Indonesia [disebut juga sebagai "studio"]  iaitu Cinta Dalam Sepotong Roti. Filem ini merupakan filem pertama beliau yang dihasilkan pada 1991.  Selepas itu, kesemua filemnya berbentuk "personal" dan mendapat pembiayaan daripada dana pertubuhan amal [NGO] atau syarikat swasta di bawah program Corporate Social Responsibility [CSR].

Atas dasar itu, Garin memberitahu ada tiga jenis sutradara :

1. Sutradara 'Studio' - yang menghasilkan filem-filem untuk syarikat produksi dalam industri perfileman. [Ramai pengarah dalam kategori ini]

2. Sutradara 'Produser' - yang menghasilkan filem-filem terbitan sendiri dan bebas/indipendent atau 'Indie'. [Antara yang terkenal di Indonesia adalah Riri Riza dan Mira Lesmana]

3. Sutradara 'Personal' - yang menghasilkan filem-filem berdasarkan isu-isu tertentu yang dekat di hati, untuk sesuatu misi, dengan mencari sendiri pembiayaannya.

Garin mengatakan beliau berada dalam kelumpuk ketiga - personal.

Kira-kira 25 peserta menimba ilmu selama lima hari dalam Master Class anjuran Finas dengan kerjasama Persatuan Pengarah Filem Malaysia [FDAM] ini. Mereka terdiri daripada pengarah, penerbit, penulis skrip, pelakon dan ahli akademik yang aktif dalam industri filem dan drama tempatan.

Sebelum kelas bermula, satu Apresiasi Filem diadakan untuk membicarakan tentang Soegija, filem Garin pada tahun ini, yang mengundang kontroversi dan laris di pawagam.  Ia tentang perjuangan seorang paderi katolik yang juga anak tempatan, di tengah-tengah krisis penjajahan Belanda dan Jepun ke atas Indonesia, antara 1940 hingga 1949, sehingga lah Indonesia mencapai kemerdekaan.

Filem lain yang juga mendapat perhatian seperti Puisi Yang Tak Terkuburkan, Bulan Tersusuk Lalang, Surat Untuk Bidadari dan Daun Di Atas Bantal.  Beliau juga pernah memenangi anugerah di arena antarabangsa seperti di Asia Pacific Film Festival, Tokyo International Film Festival, Berlin International Filem Festival dan lain-lain.



No comments: