Sunday, April 19, 2015

PILOT CAFE DI PAWAGAM MULAI 30 APRIL

Nama Ahadiat Akashah dikenali sejak 1980-an lagi sebagai novelis. Setelah 30 tahun menulis, beliau dikenali sebagai novelis prolifik sehingga tersenarai dalam Malaysia Book of Records. Beliau juga menulis skrip drama televisyen dan filem. Pada peringkat awal pembabitan saya dalam dunia penulisan skrip, kami pernah berkolaborasi menghasilkan skrip drama bersiri sempena hari kemerdekaan untuk siaran TV1.

Sudah lima buah novel tulisannya diadaptasikan ke filem cereka. Sebahagian skripnya ditulis oleh beliau sendiri dengan kerjasama penulis lain.

Karya adaptasi terbaharu beliau, Pilot Cafe akan menemui peminat di pawagam tempatan mulai 30 April ini.  Filem terbitan Tarantella Pictures Sdn Bhd bersama Astro Shaw Sdn Bhd ini, berdasarkan novel Ahadiat bertajuk sama yang terbit pada 1995.
Filem arahan Osman Ali ini berjaya meruntun perasaan wakil media yang hadir di pra-tonton pada minggu lepas di pawagam GSC Nu Sentral, Brickfield, Kuala Lumpur. 

Pilot Cafe mengangkat tema keinsafan apabila menceritakan tentang juruterbang yang hidup bebas dengan mempermainkan wanita, telah kembali menolong wanita demi menebus kesalahannya.

Menurut Ahadiat, kisah ini ditulis berdasarkan pengalaman rakan-rakannya yang pernah bertugas sebagai juruterbang.

Barisan pelakon terdiri daripada Fahrin Ahmad, Izara Aisyah, Neelofa, Remy Ishak dan Eizlan Yusuf. 

Selamat menonton, ya.

BELASUNGKAWA AZWAN ANNUAR

Sungguh mengejutkan apabila mendapat berita Azwan Annuar telah kembali ke rahmatullah, semalam, jam 10 pagi, kerana serangan jantung.

Allahyarham dikenali ramai melalui wataknya dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah arahan pengarah terkenal, Mamat Khalid. Dalam filem itu, wataknya sering mengucapkan dialog "sabor jer lah" dan kemudiannya menjerit ketakutan apabila dipeluk oleh Kak Limah.

Bagi penggiat industri, beliau dikenali sebagai penulis skrip, pegawai perhubungan awam dan blogger hiburan.

Perkenalan saya dengannya amat singkat, hanya bermula pada tahun lepas apabila beliau menyertai bengkel penulisan skrin anjuran Finas yang dikendalikan oleh saya sebagai tenaga pengajar. Memandangkan beliau pernah menulis skrip dan paling berpengalaman berbanding peserta lain, beliau lah yang paling menunjukkan minat dan banyak bertanya soalan. Sesi pengajaran dan pembelajaran menjadi meriah dan bersemangat dengan adanya peserta seperti beliau. Semakin teruja beliau apabila saya memperkenalkan struktur skrip Save The Cat oleh Blake Snyder. 

Bulan lepas, kami bertemu di ceramah umum oleh pengarah terkenal Indonesia, Riri Reza di Finas Hulu Kelang. Allahyarham kelihatan gembira bertemu saya dan bersemangat dengan sesi apresiasi Sokola Rimba yang ditayangkan pada hari itu. Terus beliau bertanya pendapat saya tentang filem itu. Kami sempat merakam gambar bersama teman serumahnya, blogger Amy Ikram.


Biarpun baharu kenal, saya tetap terasa kehilangannya. Apatah lagi di kalangan penggiat industri yang sudah lama mengenali Allahyarham. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah.




Thursday, April 9, 2015

BENGKEL SKRIP DI SARAWAK APRIL INI

Setelah kejayaan Bengkel Penulisan Skrip di Kuala Lumpur, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional  Malaysia (FINAS) meneruskan bengkel anjurannya di Sarawak pula. Bengkel yang akan diadakan di cawangan Santubong, bermula pada 20 sehingga 28 April ini.

Bengkel ini turut mengekalkan tenaga pengajar yang sama iaitu Mazelan Manan, Zabidi Mohamed dan saya sendiri.

Mereka yang berminat boleh lah mendaftar melalui laman sesawang Finas di SINI atau menelefon di nombor 03 4104 1300.

Tuesday, April 7, 2015

Masa Hadapan Industri Kreatif

Pada 26 Mac lalu,  saya telah membentangkan tentang industri kreatif secara umum kepada Bahagian Sastera,  Universiti Sains Malaysia.  Pembentangan ini adalah sebahagian daripada tugas saya sebagai Karyawan Tamu di bahagian berkenaan yang terletak di bawah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan.

Secara ringkas, industri kreatif bermaksud aktiviti dalam pelbagai bidang seni yang boleh memberi pulangan dari segi ekonomi. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja dapat memberi pendapatan kepada penggiat seni, malahan, dapat meningkatkan ekonomi negara.

Industri ini merangkumi penerbitan filem cereka, drama, program televisyen , iklan, video, novel, majalah, komik, permainan komputer,  rakaman seni suara, muzik, drama pentas (teater), termasuk seni tampak, kraf dan warisan  seperti batik, songket, ukiran tembikar dan sebagainya.

Tujuan pembentangan itu ialah untuk memberi pendedahan kepada pelajar dan pensyarah tentang masa hadapan dan hala tuju industri ini untuk jangkamasa tiga hingga lapan tahun tahun yang akan datang.

Maklumat daripada pembentangan ini diharapkan dapat membantu pelajar membuat persediaan untuk memasuki industri kreatif. Selain itu, dapat membantu  pensyarah merangka program-program yang akan  memberi 'nilai tambah' kepada pelajar sekiranya mereka berminat untuk menyertai industri kreatif apabila tamat belajar kelak.


Saturday, April 4, 2015

Mama Juwie Telah Tiada (Belasungkawa)

Pemergian Mama Juwie tidak mengejutkan saya. Memandangkan sudah maklum tentang penyakitnya melalui media sosial sejak Mac lalu. Namun, kematiannya menyebabkan saya terkilan kerana tidak sempat berbual dengannya walaupun peluang itu sentiasa ada.

Allahyarham tidak penah mengenali saya. Tetapi saya pernah menegur beliau ketika terserempak di gerai-gerai makan di sekitar  AU3 (Ampang Ulu Klang).  Sama seperti orang lain yang sudah bersara, beliau sering kelihatan santai seperti tiada perkara penting hendak dibuat. Sementara saya, tergesa-gesa menguruskan keluarga dan kerjaya penulisan. Setelah membungkus lauk  dari gerai, bergegas pula untuk menghantar anak-anak ke aktiviti sekolah atau tusyen atau ke mesyuarat.

Selain itu, pernah juga terserempak dengannya di Majlis Ulangtahun Berita Harian beberapa tahun dahulu. Dia berada di hadapan saya ketika menulis namanya besar-besar di buku kehadiran tetamu  - ABDUL JALIL SALLEH.

Sekiranya saya sempat berbual dengannya, satu sahaja yang saya ingin beritahu - bahawasanya Mama Juwie adalah salah seorang inspirasi untuk saya menyertai dunia kewartawanan. Tokoh lain yang menjadi sumber inspirasi seperti Adibah Amin, Azah Aziz, A. Samad Ismail dan A Samad Said. Tokoh fiksyen yang mempengaruhi saya pula seperti  Clark Kent, wartawan Daily Planet (dari francais Superman)

Saya membaca kolum Auw! Juwie sejak di bangku sekolah. Dan mendengar lirik-lirik ciptaannya dalam lagu-lagu popular. Pernah juga  berangan hendak menjadi penulis lirik.  Namun, angan-angan itu 'ke laut', walaupun peluang itu sentiasa ada.

Apa pun, tidak penting untuk Mama Juwie tahu yang dia telah mencetuskan sesuatu dalam diri saya ketika zaman remaja dahulu. Kerana sememangnya Mama Juwie telah berjaya menyentuh hati
jutaan insan lain yang pernah melalui zaman 1980-an dan 1990-an,  samada melalui tulisannya di ruangan hiburan akhbar Mingguan Malaysia, lirik lagu atau majalah Mangga yang diasaskannya.

Semoga Allahyarham tenang dalam perjalanan menuju ke negeri abadi.

Al-fatihah.