Tuesday, March 9, 2010

NASIB PENULIS SKRIP....LAGI KES CIPLAK...!!

Pada minggu sambutan Maulidur Rasul yang lepas, saya terkejut melihat satu telemovie berunsur Islami di satu saluran TV. Melihat tajuk dan promo, saya yakin itu karya si R yang saya kenal. Malahan saya pernah membantu R 'menjual' kertas cadangan drama berkenaan kepada penerbit A. Malangnya tidak diterima atas alasan idea itu kurang komersil.
R merupakan graduan sekolah filem dan terbabit sebagai pengurus produksi sejak tamat belajar, kira-kira lima tahun lalu. Pada masa yang sama, R juga menulis skrip.
Bagaimanapun, sebaik kredit pembukaan tertera di kaca TV, saya dapati nama penulisnya amat berlainan. Saya terus SMS kepadanya. Segera dia menelefon kembali dan mengakui bahawa hasil ideanya itu
"SUDAH KENA REMBAT...!!".
R meminta nasihat saya, apa perlu dilakukannya. Saya bertanya adakah dia menjadi ahli kepada mana-mana persatuan. Katanya, dia ahli Persatuan Pekerja-Pekerja Filem Malaysia (PPPFM) yang sekarang digelar sebagai PROFIMA. Saya sarankan beliau mengadu kepada Profima dan lihat apa tindakan persatuan itu dalam menangani kes seumpama ini.
Sampai sekarang, belum ada maklum balas dari R.
Apa pun, ini bukan lah kes luar biasa. Sebaliknya berlaku dengan berleluasa di dalam industri kita. Soalnya,
APAKAH TINDAKAN KITA?
Adakah mencukupi dengan memberitahu kawan-kawan dan mereka membalasnya dengan kata-kata seperti,
"Sabar lah. Aku pun pernah kena dulu."
Atau ada tindakan lain yang lebih proaktif demi membela kebajikan penulis skrip?
Soalan ini ditujukan buat semua pihak yang prihatin terhadap golongan penulis. Tidak kira lah samada mereka itu pemimpin persatuan, ahli biasa atau tidak berpersatuan. Berbalik kepada telemovie berkenaan, tidak ada maknanya ia dihasilkan sempena meraikan kelahiran nabi Muhammad SAW yang kita kasihi, kalau terdapat penyelewengan dan penganiayaan dalam perlaksanaan drama berkenaan.

Monday, March 1, 2010

FILEM KITA PRIMITIF...?

Setiap kali ditawarkan menulis skrip filem dalam subjek tertentu, saya memberi alasan yang berhikmah agar pihak yang menawarkan itu tidak berkecil hati. Yang sebenarnya, hati kecil saya tidak yakin dengan filem Melayu. Pada penilaian saya, kebanyakan filem Melayu (bukan semua) agak 'kurang' dari segala segi, samada :
isi kandungannya (content/subject), cara penceritaan (skrip/lakon layar), pembikinan atau eksekuisi (execution) yang bermula dari pra-produksi, arahan, lakonan, kerja kamera, prop, busana dan sebagainya.
Malah penonton juga, SANGAT KURANG. Kutipan tiket RM1 juta sekadar mewakili 100,000 penonton atau 0.4 peratus dari keseluruhan rakyat Malaysia (jika diandaikan harga tiket RM10 satu kepala)
Kemudian, Sabtu lalu, gerak hati negatif saya itu disahkan lagi oleh undian SMS program FENOMENA SENI, kendalian Rosyam Nor di RTM 1. Keputusan undian menunjukkan bahawa :
90% daripada penonton rancangan itu bersetuju bahawa FILEM KITA PRIMITIF. Manakala 10% tidak bersetuju.
Primitif maksudnya mundur. Terus terang, saya tidak sangka peratusan yang begitu besar bersetuju dengan kenyataan pahit ini. Bermakna majoriti penonton kita memang negatif terhadap filem Melayu. Golongan 90% ini tidak akan ke panggung. Ini lah hakikat yang wajar kita telan, terutama oleh warga kerja industri filem tempatan. Malah Rosyam dan ahli panel juga seolah 'tidak sangka' dengan keputusan itu. Ahli panel terdiri daripada :
penggiat filem tersohor, Profesor Razak Mohideen dan Edry KRU serta pengkritik/penulis skrip, Ajami Hashim.
Apa pun, saya terkilan kerana Ajami sebagai pengkritik (dari media alternatif/blog) tidak diberi ruang yang cukup untuk melontarkan pendapatnya. Ini berpunca daripada keghairahan Rosyam menyokong pendapat Prof Razak yang mengatakan filem kita menghadapi kekangan dari segi bajet. Bagi saya, itu kenyataan defensif. Sedangkan,
Iran dengan Children of Havennya , Indonesia dengan Laskar Pelanginya dan Thailand dengan Nang Naknya tidak memerlukan bajet setanding Hollywood untuk memperlihatkan filem yang boleh dibanggakan.
Sebagai pengacara, Rosyam tidak sepatutnya bercakap terlalu banyak pada hari itu. Malah Rosyam beriya-iya mengalihkan topik perbincangan kepada rayuan-rayuan agar pihak berwajib lebih memberi sokongan kewangan kepada industri filem tempatan. Seolah itu lah resolusi perbincangan :
filem kita teruk kerana bajet kecil, jadi kerajaan kena tambah dana.
Sedangkan pada pendapat saya, yang lebih penting yang perlu diberi perhatian adalah isi kandungan, cara penceritaan, corak persembahan dan pembikinannya (eksekuisi/execution). Tidak guna bajet besar sekiranya empat perkara ini masih lemah. Mungkin ini lah yang mahu dikupas oleh Ajami, sayangnya tidak diberi peluang yang cukup. Lantas teringat program yang sama dua tahun lalu (2008) yang mengupas tajuk FILEM KITA TANDUS AGAMA? Ahli panelnya terdiri daripada :
Prof Razak, Bade Haji Azmi dan pengkritik filem yang juga pengarang sastera terkenal, Faisal Tehrani.
Saya lihat ada persamaan antara kedua-dua edisi bual bicara itu. Prof Razak bernada defensif. Mempertahankan diri bahawa dia juga berdakwah melalui filem.
Antaranya, memberi dan menjawab salam itu satu bentuk dakwah. Dan paparan seorang 'mami' yang suka mengumpat, bertujuan mendidik masyarakat supaya "jangan mengumpat" - sesuatu yang dilarang oleh agama.
Bagaimanapun, Rosyam tidak pula menyokong kenyataan itu, sebaliknya berdiam diri dan membuka ruang kepada Faisal Tehrani untuk menyatakan pandangan sebaliknya dengan bernas dan objektif.
Apa pun saya bersetuju dengan kenyataan seimbang dan berdasarkan realiti industri oleh Edry KRU. Sebagaimana Bade yang juga memberi pendapat berdasarkan realiti industri berkaitan filem dakwah.
Akhir kata, tidak semua filem kita primitif atau mundur atau kuno. Pengkritik filem dari media arus perdana, A Wahab Hamzah, dalam rencana bertajuk 2008 : TAHUN MENARIK FILEM MELAYU mengulas tentang kemunculan filem-filem oleh pengarah baharu. Barisan pengarah ini dikatakan :
memilih subjek yang dekat dengan realiti, stail yang segar, pendekatan naratif yang kompleks, bermain dengan unsur sinematik, mengangkat isu budaya serta bereksperimen dengan genre yang menongkah arus perdana.
Beliau menyebut filem seperti :
Kami : The Movie ; Kala Bulan Mengambang : Wayang ; Cuci ; Budak Kelantan ; Susuk ; Histeria ; termasuk filem indie, Pungguk Rindukan Bulan.
Ikuti rakaman bual bicara berkenaan di blog berikut :
http://ajamihashim.blogspot.com/2010/02/ajami-hashim-fenomena-seni-filem-kita.html

Wednesday, February 24, 2010

KRONOLOGI & RESOLUSI PERJUMPAAN 21/02/10

Buat mereka yang tidak hadir pada Ahad lalu, dan tertanya-tanya apa yang sebenarnya telah berlaku , harap dalam melihat blog penulis skrip Faznita Mohd Nor. Blog ini menyenaraikan kronologi peristiwa yang membawa kepada perjumpaan 21 Februari. Seterusnya menghasilkan resolusi yang dipersetujui oleh sebahagian besar hadirin. Baca dalam :
http://faznitamdnor.blogspot.com
Tidak dinafikan, bukan semua penulis yang hadir itu bersetuju dengan penubuhan gabungan dan resolusi ini.
Kepada mereka yang tidak setuju, saya hormati pendirian kalian.
Sebaliknya, terdapat juga yang tidak hadir (kerana sebab tertentu dan kerana tidak tahu) tetapi bersetuju. Harap golongan ini dapat menyatakan persetujuan dengan mendaftar nama di blog :
http://penulisskripmalaysia.blogspot.com
Buat masa ini, blog berkenaan digunakan sebagai LIDAH TAK RASMI gabungan ini. Selain itu, sesiapa yang ingin suai kenal dan berkomunikasi antara satu sama lain, boleh lah menyertai kelab facebook berikut :
http://www.facebook.com/group.php?v=wall&gid=313191606710
Saya perhatikan ramai juga di kalangan mereka yang hadir pada Ahad lalu (dan bersetuju dengan resolusinya) MASIH BELUM MENYERTAI kelab facebook berkenaan. Sementara itu, boleh juga baca pendapat berikut :
http://www.mazelanmanan.blogspot.com
http://www.zabidiskrip.blogspot.com
http://norhaidatulazian.blogspot.com
http://ayuniwrites.blogspot.com
http://mesnotez.blogspot.com
/

Sunday, February 21, 2010

GABUNGAN PENULIS SKRIP MALAYSIA

Alhamdulillah, sekitar jam 5.00 petang tadi telah tertubuh satu kumpulan yang dirujuk sebagai Gabungan Penulis Skrip Malaysia. Seramai 38 penulis skrip hadir untuk mencari kata sepakat dalam memperjuangkan kebajikan penulis skrip. Pelbagai isu dibincangkan secara ringkas dan difikirkan penyelesaiannya. Akhirnya semua bersetuju memilih lima wakil yang digelar sebagai agen perubahan. Mereka terdiri daripada :
Zabidi Mohamad, Mazelan Manaf, Dzof Azmi, Samsul Ambia dan Yusuf.
Sementara itu,
Ajami Hashim dilantik sebagai pegawai komunikasi memandangkan beliau secara sukarela telah memulakan facebook dan blog Penulis Skrip Malaysia beberapa hari lalu.
Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang hadir. Apatah lagi di atas kesudian memberi sumbangan sewa dewan yang berjumlah RM450 untuk setengah hari. Bayaran ini merangkumi :
Sewa kerusi meja, P.A. system, layar projektor dan air mineral.
Sumbangan yang terkumpul itu sebanyak RM264. Seperti yang dijanjikan, saya dan Faznita Mohd Nor sebagai penganjur hari ini bersetuju menyelesaikan baki sewa sebanyak RM186. Sekiranya perjumpaan ini diadakan di FINAS, ULU KLANG, jumlah yang terkumpul ini pasti mencukupi untuk sewa Auditorium Mini P. Ramlee yang hanya RM78 untuk satu jam. InsyaAllah, perjumpaan kedua akan diadakan di auditorium berkenaan kelak.
Biar pun ada beberapa nama tidak hadir atasan sebab yang tidak dapat dielakkan, mereka tetap menyokong usaha ini. Antaranya,
Martias Ali, Mariana Hashim, Alfie Palermo, Sha Hanim Ramli, Sofia Aliza Rhyland, Zarihah Hassan dan Tommy C.T. Loh.
Malah, selepas tamat program saya mendapat panggilan bahawa Hishamudin Rais juga berminat hendak hadir, tetapi kami di pihak penganjur terlupa menjemputnya secara rasmi. Maaf dipinta kepada beliau. Eizlan Yusuf pula yang pada awalnya aktif dalam kumpulan ini tidak dapat hadir kerana sibuk dengan pengambaran filem terbarunya.
Dari segi komitmen pula, saya awal-awal lagi memberitahu Faznita bahawa saya tidak mampu menjadi agen perubahan memandangkan saya terlibat sebagai setiausaha NGO untuk Kanak-kanak Istimewa. Bagaimanapun, sebagai bekas wartawan, saya menawarkan diri untuk membantu kumpulan ini dalam aspek komunikasi melalui media cetak (suratkhabar/majalah) dan elektronik (tv/radio).
Bagi memudahkan saluran komunikasi, diharap semua penulis skrip yang berminat menyertai kumpulan ini agar menyertai kelab facebook di bawah :
http://www.facebook.com/group.php?v=wall&gid=313191606710
Manakala satu blog sudah pun dihasilkan untuk memudahkan lagi penyebaran maklumat :
http://penulisskripmalaysia.blogspot.com
Semoga agen dilantik hari ini dapat melalukan sesuatu yang mampu memperkasa profesyen penulis skrip di masa hadapan. Perubahan tidak muncul sekelip mata. Tetapi perubahan akan muncul dengan semangat, usaha gigih dan pengorbanan berterusan.
Selamat bekerja kepada mereka yang dilantik hari ini. Kita menunggu perjumpaan kedua.

Friday, February 19, 2010

PERJUMPAAN PENULIS SKRIP 21 FEB...AGENDA

Alhamdulillah, bilangan peserta semakin bertambah. Bagaimanapun, ada beberapa nama yang sudah 'establish' tidak dapat hadir pula kerana ada urusan tertentu yang tidak dapat dielak. Bagaimanapun, mereka yang tidak hadir itu tetap menyokong usaha menganjurkan pertemuan ini.
Berikut adalah agenda yang dirancangkan pada Ahad ini, jam 3 petang di WISMA BERNAMA, off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
1. LATARBELAKANG PERJUMPAAN
2. SUAIKENAL PARA HADIRIN
3. PENJELASAN RINGKAS SAUDARA EIZLAN YUSUF TENTANG PERTEMUANNYA DENGAN PRESIDEN SWAM, ENCIK ISMAIL AHMAD PADA JANUARI 2010
4. PERBINCANGAN UNTUK MEMILIH CARA TERBAIK BAGI MENANGANI PERMASALAHAN YANG DIHADAPI PENULIS SKRIP.
5. PERLANTIKAN AGEN-AGEN PERUBAHAN.
6. KETETAPAN TARIKH DAN MASA UNTUK PERKARA-PERKARA YANG BERBANGKIT SELEPAS PERTEMUAN PERTAMA INI
Harapnya pertemuan ini berjaya membuahkan sesuatu perubahan, jika tidak dalam tahun ini, mungkin untuk beberapa tahun yang akan datang, InsyaAllah.

Friday, February 12, 2010

PERJUMPAAN PENULIS SKRIP DI WISMA BERNAMA OFF JALAN TUN RAZAK

Memandangkan pada tarikh 20-21 Februari 2010, merupakan Hari Finas, jawatankuasa penganjur Perjumpaan Penulis Skrip terpaksa menukar lokasi perjumpaan dari Finas ke Wisma Bernama (Tingkat 12), off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Bangunan ini terletak di belakang bangunan Perpustakaan Negara Malaysia {PNM).
Sekiranya melalui Jalan Tun Razak, kita akan melihat bangunan PNM yang berbentuk seperti tengkolok dan berwarna biru, terletak berhadapan dengan bangunan Institut Jantung Negara (IJN). Manakala Wisma Bernama terletak agak tersorok di belakang bangunan PNM.(Lihat gambar di atas)
Justeru, perjumpaan pada 21 Februari 2010, jam 3 petang tetap akan berlangsung seperti yang dirancangkan. Penganjur berharap agar perubahan lokasi saat akhir ini tidak akan mengurangkan jumlah kehadiran peserta yang setakat ini dalam anggaran 45-50 orang.
Berikut adalah alamat penuh lokasi baru :
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Wisma BERNAMA, No 28, Jalan 1/65A, Off Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur, Malaysia.
Sila klik alamat di bawah untuk lihat peta :
http://www.bernama.com/aboutbernama/bi/map.htm

Tuesday, February 2, 2010

PERJUMPAAN PENULIS SKRIP....21 FEBRUARI INI

Perjumpaan penulis skrip pada 21 Februari ini, Ahad, jam tiga petang di Finas, kian mendapat sambutan. Setakat ini kira-kira 50 orang sudah mendaftar nama masing-masing. Salah seorang yang akan hadir ialah, bekas Presiden SWAM, Encik Wahid Nasir.
Beliau sangat menyokong perhimpunan ini. Dan melihatnya sebagai saluran menyatukan suara penulis skrip. Tentang desas desus kononnya, perhimpunan ini bermotifkan ‘rampasan kuasa’, Abang Wahid tidak pula melihatnya begitu.
“Kalau nak rampas kuasa, dah lama dah dulu kita buat...” katanya kepada saya melalui telefon.
Sementara itu, tinjauan di kalangan mereka yang ingin hadir, juga berpendapat yang sama. Perhimpunan ini bermotif penyatuan, bukan perpecahan atau perseteruan dengan mana-mana pihak.
Malah, Presiden SWAM, Encik Ismail Ahmad [Pak Mail] sendiri awal-awal lagi sudah menawarkan tempatnya untuk di ambil oleh sesiapa, asalkan bakal penggantinya, mampu untuk melaksanakan tugas demi untuk kebaikan SWAM.
Nah, jika presiden sudah berkata demikian, soal merampas kuasa bukan lagi isunya. Saya kurang pasti bagaimana isu ‘merampas kuasa’ boleh timbul. [Perlu disiasat nih!] InsyaAllah, saya akan naikkan nama mereka yang sudah mendaftar termasuk aturcara programnya nanti.