Monday, March 1, 2010

FILEM KITA PRIMITIF...?

Setiap kali ditawarkan menulis skrip filem dalam subjek tertentu, saya memberi alasan yang berhikmah agar pihak yang menawarkan itu tidak berkecil hati. Yang sebenarnya, hati kecil saya tidak yakin dengan filem Melayu. Pada penilaian saya, kebanyakan filem Melayu (bukan semua) agak 'kurang' dari segala segi, samada :
isi kandungannya (content/subject), cara penceritaan (skrip/lakon layar), pembikinan atau eksekuisi (execution) yang bermula dari pra-produksi, arahan, lakonan, kerja kamera, prop, busana dan sebagainya.
Malah penonton juga, SANGAT KURANG. Kutipan tiket RM1 juta sekadar mewakili 100,000 penonton atau 0.4 peratus dari keseluruhan rakyat Malaysia (jika diandaikan harga tiket RM10 satu kepala)
Kemudian, Sabtu lalu, gerak hati negatif saya itu disahkan lagi oleh undian SMS program FENOMENA SENI, kendalian Rosyam Nor di RTM 1. Keputusan undian menunjukkan bahawa :
90% daripada penonton rancangan itu bersetuju bahawa FILEM KITA PRIMITIF. Manakala 10% tidak bersetuju.
Primitif maksudnya mundur. Terus terang, saya tidak sangka peratusan yang begitu besar bersetuju dengan kenyataan pahit ini. Bermakna majoriti penonton kita memang negatif terhadap filem Melayu. Golongan 90% ini tidak akan ke panggung. Ini lah hakikat yang wajar kita telan, terutama oleh warga kerja industri filem tempatan. Malah Rosyam dan ahli panel juga seolah 'tidak sangka' dengan keputusan itu. Ahli panel terdiri daripada :
penggiat filem tersohor, Profesor Razak Mohideen dan Edry KRU serta pengkritik/penulis skrip, Ajami Hashim.
Apa pun, saya terkilan kerana Ajami sebagai pengkritik (dari media alternatif/blog) tidak diberi ruang yang cukup untuk melontarkan pendapatnya. Ini berpunca daripada keghairahan Rosyam menyokong pendapat Prof Razak yang mengatakan filem kita menghadapi kekangan dari segi bajet. Bagi saya, itu kenyataan defensif. Sedangkan,
Iran dengan Children of Havennya , Indonesia dengan Laskar Pelanginya dan Thailand dengan Nang Naknya tidak memerlukan bajet setanding Hollywood untuk memperlihatkan filem yang boleh dibanggakan.
Sebagai pengacara, Rosyam tidak sepatutnya bercakap terlalu banyak pada hari itu. Malah Rosyam beriya-iya mengalihkan topik perbincangan kepada rayuan-rayuan agar pihak berwajib lebih memberi sokongan kewangan kepada industri filem tempatan. Seolah itu lah resolusi perbincangan :
filem kita teruk kerana bajet kecil, jadi kerajaan kena tambah dana.
Sedangkan pada pendapat saya, yang lebih penting yang perlu diberi perhatian adalah isi kandungan, cara penceritaan, corak persembahan dan pembikinannya (eksekuisi/execution). Tidak guna bajet besar sekiranya empat perkara ini masih lemah. Mungkin ini lah yang mahu dikupas oleh Ajami, sayangnya tidak diberi peluang yang cukup. Lantas teringat program yang sama dua tahun lalu (2008) yang mengupas tajuk FILEM KITA TANDUS AGAMA? Ahli panelnya terdiri daripada :
Prof Razak, Bade Haji Azmi dan pengkritik filem yang juga pengarang sastera terkenal, Faisal Tehrani.
Saya lihat ada persamaan antara kedua-dua edisi bual bicara itu. Prof Razak bernada defensif. Mempertahankan diri bahawa dia juga berdakwah melalui filem.
Antaranya, memberi dan menjawab salam itu satu bentuk dakwah. Dan paparan seorang 'mami' yang suka mengumpat, bertujuan mendidik masyarakat supaya "jangan mengumpat" - sesuatu yang dilarang oleh agama.
Bagaimanapun, Rosyam tidak pula menyokong kenyataan itu, sebaliknya berdiam diri dan membuka ruang kepada Faisal Tehrani untuk menyatakan pandangan sebaliknya dengan bernas dan objektif.
Apa pun saya bersetuju dengan kenyataan seimbang dan berdasarkan realiti industri oleh Edry KRU. Sebagaimana Bade yang juga memberi pendapat berdasarkan realiti industri berkaitan filem dakwah.
Akhir kata, tidak semua filem kita primitif atau mundur atau kuno. Pengkritik filem dari media arus perdana, A Wahab Hamzah, dalam rencana bertajuk 2008 : TAHUN MENARIK FILEM MELAYU mengulas tentang kemunculan filem-filem oleh pengarah baharu. Barisan pengarah ini dikatakan :
memilih subjek yang dekat dengan realiti, stail yang segar, pendekatan naratif yang kompleks, bermain dengan unsur sinematik, mengangkat isu budaya serta bereksperimen dengan genre yang menongkah arus perdana.
Beliau menyebut filem seperti :
Kami : The Movie ; Kala Bulan Mengambang : Wayang ; Cuci ; Budak Kelantan ; Susuk ; Histeria ; termasuk filem indie, Pungguk Rindukan Bulan.
Ikuti rakaman bual bicara berkenaan di blog berikut :
http://ajamihashim.blogspot.com/2010/02/ajami-hashim-fenomena-seni-filem-kita.html

5 comments:

Bukan Sepet said...

Saya ingin komen. Tapi saya reserve kerana ingin membaca tulisan Ajami dulu.

Dan benar, Ajami telah menulis, apa yang saya rasa. (Kerana dia memang handal. haha)

Pandangan saya selaku bukan orang dalam bidang ini, selaku 'bukan sapa sapa' saya lontarkan di blog saya.

roasted kopi said...

Terima kasih di atas penulisan ini. Komen saya di sini :-)

Anonymous said...

Filem kita primitif kerana kita ikut kehendak penonton, sepatutnya kita mendidik penonton.

Maizura Mohd Ederis said...

Tks kepada bukan sepet dan roasted kopi krn memberi reaksi dalam blog kalian.

Anon, kata A Wahab Hamzah, kehendak penonton yang kita ikut itu hanya sekitar 200,000-300,000 saja.

fadz said...

dan kak mai sudahpun merumuskannya dengan baik apa yg perlu dibetulkan dalam industri ini