Wednesday, March 24, 2010

PROMOSI "CAHAYA DI HUJUNG NYAWA"....JUMAAT INI DI PWTC

Saya akan berada di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Jumaat ini, 26 Mac 2010, mulai jam 10 pagi hingga 4 petang untuk mempromosi novel CAHAYA DI HUJUNG NYAWA.
Novel ini diterbitkan oleh Creative Enterprise Sdn Bhd (CESB). Rasanya semua orang tahu hendak mencari di mana petak CESB di PWTC itu.
Ini lah novel ke enam di sepanjang kerjaya sebagai novelis sejak 1996. Bermakna saya bukan lah novelis yang aktif. Kali terakhir mempromosi novel di PBAKL ialah pada 2003, berjudul KIRANYA KAU BERBOHONG.
Apa yang saya risaukan tentang PBAKL ialah terlebih belanja membeli buku. Tahun lepas saya berjaya menahan diri daripada membeli apa-apa buku kerana buku yang dibeli pada tahun 2008 (yang berjumlah kira-kira RM500 kesemuanya) masih belum habis dibaca. Saya tidak pasti tentang tahun ini.
Pun begitu, sudah ada dalam kepala akan beberapa judul buku yang wajib dibeli untuk rujukan projek penulisan yang sedang dikerjakan sekarang. Saya akan mencarinya jika ada masa. Jika tidak, seperti biasa, akan mencari melalui internet dan memesannya secara online. Cara ini lebih menjimatkan masa berbanding merayap di sekitar PWTC yang luas itu.
Dan saya berharap untuk bertemu beberapa teman dalam industri buku seperti mereka di Kumpulan PTS dan Alaf 21 Sdn Bhd. Atau sekadar melihat kelibat penulis-penulis tersohor yang selama ini menjadi sumber inspirasi buat saya.
Maklumat lanjut tentang CAHAYA DI HUJUNG NYAWA melalui laman web CESB :
http://www.cesb.net.my/store/Cahaya-Di-Hujung-Nyawa-Maizura-Mohd.-Ederis.html

Saturday, March 13, 2010

MELAHIRKAN "TUDUNG EKSPRES"

Cara orang Amerika bercakap memang kasar. Sebagai contoh, bagi sesebuah konsep yang memakan masa panjang untuk dibangunkan, Hollywood menggelarnya Development Hell (dengan izin). Ada sesetengah konsep mengambil masa antara 5-10 tahun untuk dibangunkan. Ada di antaranya yang akhirnya berjaya menjadi karya besar dan hebat. Dan ada yang gagal apabila ia akhirnya tersiar. Malahan ada yang langsung terbengkalai setelah banyak masa, wang dan tenaga dilaburkan untuknya. Lazimnya proses yang panjang ini melibatkan pertukaran beberapa penulis yang silih berganti.
Bagaimanapun, situasi ini tidak berlaku di negara kita. Sesuatu konsep hanya mengambil masa beberapa bulan untuk dibangunkan. Seorang eksekutif asing yang berpengalaman bekerja di BBC, terkejut bila diminta oleh pihak pengurusan atasannya di negara ini untuk membangunkan sebuah program TV dalam masa enam bulan. Katanya, pihak stesyen di negara asalnya, mengambil masa kira-kira dua tahun untuk membangunkan sesebuah program.
Apa pun, TUDUNG EKSPRES adalah konsep yang paling lama untuk dibangunkan. Saya mendapat panggilan daripada pihak stesyen tentang konsep ini pada hujung 2008. Bagaimanapun, konsep ini terpaksa melalui perbincangan demi perbincangan di sepanjang 2009. Hanya pada bulan lalu (2010), baru lah sebuah syarikat antarabangsa yang sudah lama bertapak di Malaysia, memberi kata putus untuk menaja siri ini.
TUDUNG EKSPRES akan diterbitkan oleh Filmscape Sdn Bhd dan diarahkan oleh Faisal Ishak. Penulisan skrip dibantu oleh Ayuni Zamni. InsyaAllah akan tersiar di Astro Prima (saluran 105) mulai 8 Julai ini.
Ya, akhirnyaaaaaaa….

Tuesday, March 9, 2010

NASIB PENULIS SKRIP....LAGI KES CIPLAK...!!

Pada minggu sambutan Maulidur Rasul yang lepas, saya terkejut melihat satu telemovie berunsur Islami di satu saluran TV. Melihat tajuk dan promo, saya yakin itu karya si R yang saya kenal. Malahan saya pernah membantu R 'menjual' kertas cadangan drama berkenaan kepada penerbit A. Malangnya tidak diterima atas alasan idea itu kurang komersil.
R merupakan graduan sekolah filem dan terbabit sebagai pengurus produksi sejak tamat belajar, kira-kira lima tahun lalu. Pada masa yang sama, R juga menulis skrip.
Bagaimanapun, sebaik kredit pembukaan tertera di kaca TV, saya dapati nama penulisnya amat berlainan. Saya terus SMS kepadanya. Segera dia menelefon kembali dan mengakui bahawa hasil ideanya itu
"SUDAH KENA REMBAT...!!".
R meminta nasihat saya, apa perlu dilakukannya. Saya bertanya adakah dia menjadi ahli kepada mana-mana persatuan. Katanya, dia ahli Persatuan Pekerja-Pekerja Filem Malaysia (PPPFM) yang sekarang digelar sebagai PROFIMA. Saya sarankan beliau mengadu kepada Profima dan lihat apa tindakan persatuan itu dalam menangani kes seumpama ini.
Sampai sekarang, belum ada maklum balas dari R.
Apa pun, ini bukan lah kes luar biasa. Sebaliknya berlaku dengan berleluasa di dalam industri kita. Soalnya,
APAKAH TINDAKAN KITA?
Adakah mencukupi dengan memberitahu kawan-kawan dan mereka membalasnya dengan kata-kata seperti,
"Sabar lah. Aku pun pernah kena dulu."
Atau ada tindakan lain yang lebih proaktif demi membela kebajikan penulis skrip?
Soalan ini ditujukan buat semua pihak yang prihatin terhadap golongan penulis. Tidak kira lah samada mereka itu pemimpin persatuan, ahli biasa atau tidak berpersatuan. Berbalik kepada telemovie berkenaan, tidak ada maknanya ia dihasilkan sempena meraikan kelahiran nabi Muhammad SAW yang kita kasihi, kalau terdapat penyelewengan dan penganiayaan dalam perlaksanaan drama berkenaan.

Monday, March 1, 2010

FILEM KITA PRIMITIF...?

Setiap kali ditawarkan menulis skrip filem dalam subjek tertentu, saya memberi alasan yang berhikmah agar pihak yang menawarkan itu tidak berkecil hati. Yang sebenarnya, hati kecil saya tidak yakin dengan filem Melayu. Pada penilaian saya, kebanyakan filem Melayu (bukan semua) agak 'kurang' dari segala segi, samada :
isi kandungannya (content/subject), cara penceritaan (skrip/lakon layar), pembikinan atau eksekuisi (execution) yang bermula dari pra-produksi, arahan, lakonan, kerja kamera, prop, busana dan sebagainya.
Malah penonton juga, SANGAT KURANG. Kutipan tiket RM1 juta sekadar mewakili 100,000 penonton atau 0.4 peratus dari keseluruhan rakyat Malaysia (jika diandaikan harga tiket RM10 satu kepala)
Kemudian, Sabtu lalu, gerak hati negatif saya itu disahkan lagi oleh undian SMS program FENOMENA SENI, kendalian Rosyam Nor di RTM 1. Keputusan undian menunjukkan bahawa :
90% daripada penonton rancangan itu bersetuju bahawa FILEM KITA PRIMITIF. Manakala 10% tidak bersetuju.
Primitif maksudnya mundur. Terus terang, saya tidak sangka peratusan yang begitu besar bersetuju dengan kenyataan pahit ini. Bermakna majoriti penonton kita memang negatif terhadap filem Melayu. Golongan 90% ini tidak akan ke panggung. Ini lah hakikat yang wajar kita telan, terutama oleh warga kerja industri filem tempatan. Malah Rosyam dan ahli panel juga seolah 'tidak sangka' dengan keputusan itu. Ahli panel terdiri daripada :
penggiat filem tersohor, Profesor Razak Mohideen dan Edry KRU serta pengkritik/penulis skrip, Ajami Hashim.
Apa pun, saya terkilan kerana Ajami sebagai pengkritik (dari media alternatif/blog) tidak diberi ruang yang cukup untuk melontarkan pendapatnya. Ini berpunca daripada keghairahan Rosyam menyokong pendapat Prof Razak yang mengatakan filem kita menghadapi kekangan dari segi bajet. Bagi saya, itu kenyataan defensif. Sedangkan,
Iran dengan Children of Havennya , Indonesia dengan Laskar Pelanginya dan Thailand dengan Nang Naknya tidak memerlukan bajet setanding Hollywood untuk memperlihatkan filem yang boleh dibanggakan.
Sebagai pengacara, Rosyam tidak sepatutnya bercakap terlalu banyak pada hari itu. Malah Rosyam beriya-iya mengalihkan topik perbincangan kepada rayuan-rayuan agar pihak berwajib lebih memberi sokongan kewangan kepada industri filem tempatan. Seolah itu lah resolusi perbincangan :
filem kita teruk kerana bajet kecil, jadi kerajaan kena tambah dana.
Sedangkan pada pendapat saya, yang lebih penting yang perlu diberi perhatian adalah isi kandungan, cara penceritaan, corak persembahan dan pembikinannya (eksekuisi/execution). Tidak guna bajet besar sekiranya empat perkara ini masih lemah. Mungkin ini lah yang mahu dikupas oleh Ajami, sayangnya tidak diberi peluang yang cukup. Lantas teringat program yang sama dua tahun lalu (2008) yang mengupas tajuk FILEM KITA TANDUS AGAMA? Ahli panelnya terdiri daripada :
Prof Razak, Bade Haji Azmi dan pengkritik filem yang juga pengarang sastera terkenal, Faisal Tehrani.
Saya lihat ada persamaan antara kedua-dua edisi bual bicara itu. Prof Razak bernada defensif. Mempertahankan diri bahawa dia juga berdakwah melalui filem.
Antaranya, memberi dan menjawab salam itu satu bentuk dakwah. Dan paparan seorang 'mami' yang suka mengumpat, bertujuan mendidik masyarakat supaya "jangan mengumpat" - sesuatu yang dilarang oleh agama.
Bagaimanapun, Rosyam tidak pula menyokong kenyataan itu, sebaliknya berdiam diri dan membuka ruang kepada Faisal Tehrani untuk menyatakan pandangan sebaliknya dengan bernas dan objektif.
Apa pun saya bersetuju dengan kenyataan seimbang dan berdasarkan realiti industri oleh Edry KRU. Sebagaimana Bade yang juga memberi pendapat berdasarkan realiti industri berkaitan filem dakwah.
Akhir kata, tidak semua filem kita primitif atau mundur atau kuno. Pengkritik filem dari media arus perdana, A Wahab Hamzah, dalam rencana bertajuk 2008 : TAHUN MENARIK FILEM MELAYU mengulas tentang kemunculan filem-filem oleh pengarah baharu. Barisan pengarah ini dikatakan :
memilih subjek yang dekat dengan realiti, stail yang segar, pendekatan naratif yang kompleks, bermain dengan unsur sinematik, mengangkat isu budaya serta bereksperimen dengan genre yang menongkah arus perdana.
Beliau menyebut filem seperti :
Kami : The Movie ; Kala Bulan Mengambang : Wayang ; Cuci ; Budak Kelantan ; Susuk ; Histeria ; termasuk filem indie, Pungguk Rindukan Bulan.
Ikuti rakaman bual bicara berkenaan di blog berikut :
http://ajamihashim.blogspot.com/2010/02/ajami-hashim-fenomena-seni-filem-kita.html