Sunday, November 10, 2013

KJ menang anugerah hiburan... Shout! Awards.

Mungkin satu sejarah apabila seorang menteri kabinet dicalonkan untuk anugerah dalam dunia artis. Tetapi itu lah Khairy Jamaludin [KJ], Menteri Belia & Sukan yang baharu sahaja merangkul  kategori sosial media, "Wired Celebrity Award" sebentar tadi.  Kategori ini mengiktiraf selebriti tempatan yang aktif dalam penggunaan media sosial.

Khairy mengalahkan calon yang bukan calang-calang seperti Yuna, Aaron AzizSofea Jane dan ramai lagi. Malahan, ketika mengucapkan selamat bertanding kepada Sofea Jane siang tadi melalui whatsapp,  kami sama-sama menjangkakan Yuna akan menang. Ternyata, jangkaan tersasar. Yuna juga gagal memenangi mana-mana kategori pada kali ini.

Calon kegemaran saya malam ini, antaranya Mat Lutfi, yang menang kategori sama - sosial media - yang dinamakan Shout! Aloud Award;  Hafiz yang menang dua hadiah dalam kategori muzik ; dan KIL yang menang kategori filem.

Kategori yang saya nantikan tentu lah drama televisyen. Tahun ini jatuh kepada drama bersiri slot Zehra di TV3, Sebenarnya Saya Isteri Dia [SSID] terbitan Primeworks Studio. Saingan terdekat kepada SSID adalah Adam & Hawa yang bersiaran di Astro Mustika HD, terbitan Global Station Sdn Bhd. Kedua-dua drama bersiri ini  merupakan drama adaptasi daripada novel popular tempatan

Apa pun, anugerah kemuncak, Ultimate Award, diraih oleh penyanyi Joe Flizow.

Pencalonan dan kemenangan untuk semua kategori adalah berdasarkan undian peminat melalui internet. Bermakna anugerah ini bersifat popular dan 'urban' kerana dianjurkan oleh saluran 8TV di mana penontonnya berbilang bangsa dan tertumpu kepada kawasan bandar.


Saturday, November 9, 2013

BALADA PENCINTA... MASIH DI PAWAGAM

Setelah hampir sebulan menyaksikan pra-tonton filem Balada Pencinta, baharu lah saya berkesempatan menitipkan sesuatu tentangnya. Filem arahan dan skrip oleh Khir Rahman  ini menggabungkan  seni dan komersial. Ini diakui beliau dalam ucapannya ketika karya ini dihidangkan kepada pihak media dan penggiat industri pada 17 Oktober lalu.

Jika dilihat dari aspek keseimbangan seni dan komersial, filem ini berjaya mencapai matlamatnya. Bagaimanapun, terserah kepada penonton untuk menenentukannya. Laman sesawang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional [FINAS] belum mencatatkan kutipan tiket setakat ini kerana ia masih diputarkan pawagam.

 Apa pun, saya lebih menyukai arahan pertama Khir, "....Dalam Botol" yang ditayangkan pada 2011 kerana garapan seni dan perbincangan subjek yang melanggar adat kebiasaan masyarakat tempatan.

Berbalik kepada Balada Pencinta, ia mempertaruhkan pelakon yang asalnya popular melalui drama televisyen dan sekarang semakin kerap kelihatan di pawagam -  Johan Asa'ari dan  Siti Saleha. Turut dibantu oleh Zain Hussein, Iedil Putra, Miera Liyana, Azhan Rani, Faizal Hussein, Bell Ngasri, Dato Jalaludin Hassan, Dian P Ramlee dan ramai lagi.

Kepada penyokong dan pencinta filem tempatan, masih tidak terlambat untuk ke pawagam, ya!




Saturday, November 2, 2013

ANUGERAH SKRIN 2013... 29 NOVEMBER INI

Anugerah Skrin tahun ini  [ASK 2013]  membuka tirai dengan menampilkan kelainan. Buat pertama kali calon lima terbaik diumumkan sebulan lebih awal.  Dan pengumuman itu disiarkan secara langsung melalui saluran penganjurnya, TV3 sebentar tadi jam 9 hingga 10 malam. Manakala malam sebenar akan diadakan pada 29 November ini di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Majlis ringkas tadi memperkenalkan calon lima terbaik bagi kategori Penulis Skrip Drama TV  a.k.a.  Lakon TV iaitu Siti Jasmina Ibrahim, Mazelan Manan, Azlina Pa'Wan, Erma Fatima dan Eenaz Mokhtar.

Calon lima terbaik bagi ketegori Penulis Skrip Filem a.k.a. Lakon Layar adalah Mamat Khalid, Nik Amir Nik Mustafa, Rafidah Abdullah, Shafiq Yusuf dan Edry Abdul Halim.

Semua nama ini hebat belaka dan kredibiliti penulisan mereka memang sudah terbukti.

Sama-sama lah kita menantikan siapa di antara mereka akan dinobatkan sebagai juara, ya.





Thursday, September 26, 2013

DAHLIA DI RIA PULA...ISNIN-RABU, 6 PETANG

Salam semua,

Bertemu kembali setelah lama saya tidak menjenguk ke blog sendiri.

Sekadar mahu memaklumkan bahawa drama tulisan saya sebelum ini, "Dahlia" yang tamat siaran di Astro Mustika HD [Saluran 134] pada bulan puasa  lepas, kini di ulang siar pula di Astro Ria [Saluran 104] jam 6 petang, setiap Isnin hingga Rabu, mulai 16 September.

Bagi mereka yang tidak melanggan saluran Mustika HD atau sukar menonton secara atas talian [online] disebabkan hal-hal tertentu, silakan menonton drama siri ini  buat pertama kali di Astro Ria. Setakat ini, sudah enam episod [2 minggu] di ulang tayang.

Semalam, saya berkesempatan mendengar taklimat di Astro tentang prestasi drama-drama yang bersiaran di slot Mustika HD. Slot ini baharu diperkenalkan pada tahun lalu yang perintisnya adalah Adam & Hawa [adaptasi dari novel bertajuk sama karya Aisya Sofea], diikuti Sehangat Asmara, juga adaptasi dari novel bertajuk sama karya novelis yang sama.

Selepas Dahlia, sedang bersiaran sekarang adalah Jodoh Itu Milik Kita yang diadaptasi dari novel bertajuk sama karya Sara Aisya.

Dahlia merupakan satu-satunya karya asli [original story] yang bersiaran di slot ini dengan menampilkan genre yang berat dan isi kandungan dewasa. Manakala 3 drama sebelum dan selepasnya adalah adaptasi daripada novel popular dengan genre ringan untuk golongan muda mudi dan remaja.

Selamat menonton Dahlia sekali lagi, ya!

MeleTOP - Parodi - Dahlia... hahahaha...

Friday, August 2, 2013

RAMADAN YANG HILANG... MINGGU AKHIR

Sejak lima tahun kebelakangan ini, slot Samarinda TV3 untuk bulan Ramadan seolah-olah ekslusif untuk seorang karyawan iaitu pengarah dan penulis skrip berbakat, Shahrulezad Mohameddin [Ezad].  Ini berdasarkan reputasi beliau menghasilkan karya yang meruntun emosi dan mencengkam kalbu setiap jam 10 malam - waktu kebanyakan penonton Melayu selesai  solat terawih.

Ezad dan Fazli merangkul tropi Drama Terbaik Anugerah Skrin 2010
Tentu ramai yang masih ingat drama bulan puasa seperti Seputeh Qaseh Ramadan, Kerana Cintaku Saerah, Syurga-Mu Ramadan, Ramadan Terakhir dan 7 Ramadan. Kesemua drama ini bukan sahaja mendapat sambutan daripada khalayak umum [mass], malah berjaya menarik sekelompok pengikut setia  - yang akan menunggu hasil karya beliau setiap kali tiba bulan mulia ini.

Drama-drama terbitan syarikatnya, Radius One Sdn Bhd ini,  sering bertemakan hubungan kekeluargaan. Ia berligar sekitar perselisihan ahli keluarga kerana perbezaan prinsip, berkecil hati, membawa diri dan akhirnya pulang ke pangkuan masing-masing untuk saling memaafkan dan melupakan sengketa lalu. Biasanya, tiada watak jahat [hitam] atau baik [putih]. Beliau lebih cenderung mempersembahkan watak-watak kelabu yang mana sesuatu watak boleh jadi baik berdasarkan situasi/prinsip tertentu dan boleh jadi jahat berdasarkan situasi/prinsip yang lain pula.  Setiap tindakan yang dilihat seolah-olah  'jahat'  atau 'kejam' itu, semuanya ada sebab tertentu yang akhirnya membuatkan watak itu tersedar sendiri akan kesilapannya. Pendekata, drama-drama ini sangat 'character driven' [bergerak berdasarkan watak], bukan 'plot driven' [bergerak berdasarkan plot] seperti kebanyakan drama tempatan yang kita lihat di TV.

Tahun ini, Ezad kembali dengan tajuk Ramadan Yang Hilang yang mengangkat perselisihan dua beradik dalam sebuah keluarga kecil.  Saya turut membantu menulis, disebabkan kesuntukan masa beliau dalam menghasilkan naskah ini. Kami bekerja dalam masa yang sangat singkat dan tergesa-gesa. Perbincangan dengan pihak TV3 hanya diadakan pada pertengahan April, penulisan skrip bermula pada awal Mei, pengambaran pada hujung Mei dan episod pertama bersiaran pada 26 Jun iaitu dua minggu sebelum bulan puasa.

Ramadan Yang Hilang diarahkan oleh Ezad bersama dengan Ramli Long dan diterbitkan bersama dengan Fazli Haji Baharom.  Pelakonnya terdiri daripada Eira Syazira, Syatilla Melvin, Arja Lee, Zamarul Hisyam, Zila Bakarin, Noryati Taib, Zulin Aziz,  Ijoi dan ramai lagi.

Kepada mereka yang mengikuti drama ini, jangan lupa menonton baki dua episod lagi iaitu episod 17 dan episod 18 pada 5 - 6 Ogos ini,  [Isnin- Selasa] , jam 10 malam. 

Untuk makluman kepada pengikut slot Samarinda TV3, mulai tahun ini, waktu siaran slot ini bertambah kepada satu jam berbanding setengah jam pada tahun-tahun sebelum ini.

Jangan lupa...minggu hadapan...minggu akhir Ramadan Yang Hilang!

Sunday, July 14, 2013

DAHLIA.. BAHAGIA KAH AKHIRNYA?


Minggu ini minggu terakhir drama Dahlia bersiaran di Astro. Tentunya soalan yang sering ditanya pengikut-pengikut drama ini adalah samada Dahlia akan bahagia atau terus menderita?

Mungkin ada yang membuat pelbagai ramalan setelah dikejutkan oleh hubungan  Zara dengan Fuad  pada minggu lepas dan siapa sebenarnya Fuad suatu ketika dahulu.

Ini membawa kepada kemungkinan kisah ini tidak berakhir dengan kebahagiaan [Happy Ending] dan hidup perlu diteruskan oleh Dahlia walau apa pun yang berlaku... [Life goes on]

Persoalan ini akan terjawab pada minggu ini melalui Astro Mustika HD Saluran 134.

Tuesday, July 9, 2013

DAHLIA TERUS BANGKIT PADA MINGGU KE-12



Kematian Razman tidak mematahkan semangat Dahlia. Wanita ini terus bangkit. Dia kuatkan hati membuat semakan di syarikat insurans tentang pampasan insurans nyawa Razman. Dia juga menyiasat melalui Hairi tentang samada Razman ada meninggalkan wasiat atau tidak. Jika ada, berapa kah bahagian untuk anak-anaknya? Jika tiada, dia akan menuntutnya berdasarkan Hukum Faraid. Semua ini dilakukan demi anak-anaknya,  bukan untuk diri sendiri.


Bagaimana pula dengan Fuad? Selain rahsianya sebagai ahli korporat yang terbongkar beberapa minggu sebelum ini, tidak banyak yang diketahui tentang kehidupan peribadi beliau. Adakah dia pernah beristeri dan mempunyai anak? Atau...confirm bachelor? 

Apa pun, yang pasti, Haliza akan terus berdendam dengan Dahlia setelah Razman meninggalkannya seorang diri di majlis resepsi mereka.

Teruskan mengikut Dahlia yang kini sudah menghampiri penghujungnya. Astro Mustika HD, 134, ya!

Tuesday, July 2, 2013

"PASPORT DUNIAWI".... 5 JULAI, 10 MALAM

Setiap Jumaat, jam 10 malam, stesyen TV al-Hijrah [TVAH] akan menyiarkan telemovie tempatan selama 2 jam.

Pada 5 Julai ini [Jumaat], buat pertama kali telemovie hasil tulisan saya akan bersiaran di slot berkenaan. Pasport Duniawi merupakan idea dan skrip bersama saya dengan Nurull Halawati Haron. Ia mengisahkan dua jiran yang mempunyai pendapat ekstrim tentang cara berbelanja. Seorang sangat boros sehingga banyak berhutang. Seorang lagi sangat kedekut sehingga enggan menderma dan bersedekah.

Telemovie ini diterbitkan oleh H&J Pictures Sdn Bhd dan diarahan oleh Zul Arshad. Pelakonnya terdiri daripada Radhi Khalid, Dira Abu Zahar, Fizza Elite dan Wan Raja.

Semoga terhibur dengan paparan dari genre komedi ringan dan santai ini tetapi mengandungi mesej tentang bagaimana hendak berbelanja dan untuk hidup berjiran.

Monday, June 24, 2013

SIAPA SEBENARNYA FAIZAL HUSSEIN?

 Suspen tak tajuk ni?


Sebenarnya tak ada apa-apa pun.

Tajuk ini sekadar merujuk kepada watak lakonan Faizal Hussein dalam drama Dahlia yang sudah memasuki episod ke 28 [minggu ke-10] pada malam ini.

Watak Fuad Sidek lakonan beliau, sebelum ini dilihat sebagai pemandu lori. Kemudian, didedahkan bahawa beliau seorang ahli korporat dalam bidang Teknologi Maklumat tetapi sudah bersara dari bidang ini. Bagaimanapun, beliau mengekalkan saham beliau dalam syarikat milik sahabatnya, Halim, lakonan Rashidi Ishak.

Mulai minggu ini, Dahlia mula mengetahui siapa Fuad yang sebenarnya. Penonton juga akan dikejutkan oleh beberapa rahsia peribadi Fuad yang belum diketahui sebelum ini. Manakala watak Razman lakonan Hans Isaac juga akan mengalami "twist" yang mungkin tidak dijangka oleh penonton.

Teruskan setia bersama saluran Astro Mustika HD - 134  yang kini bersiaran selama satu jam, setiap Isnin hingga Rabu, 10 hingga 11 malam.


Saturday, June 22, 2013

ADAPTASI KARYA SASTERA KE FILEM & TV





Minggu hadapan, Dewan Bahasa dan Pustaka sekali lagi menganjurkan Bengkel Adaptasi Karya Sastera ke  Filem & Drama TV. Penganjuran kali kedua untuk tahun ini, mengekalkan pembimbing yang sama iaitu saya dan penulis skrip/penggiat sastera terkenal, Siti Jasmina Ibrahim. 

Bengkel yang bermula pada 27  hingga 29 Jun ini turut menampilkan dua tokoh sebagai tetamu iaitu Sabri Yunus dan Encik Kamarudin Ambak daripada Unit Drama RTM.  Kedua tokoh ini diberi satu slot sebagai pembuka dan penutup bengkel ini.

Sabri Yunus merupakan karyawan yang telah mengangkat novel sastera, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman karya Sasterawan Negara, Dato' Anwar Ridhuan ke telemovie untuk slot Tayangan Hebat, Astro Box Office saluran 952 yang bersiaran di sepanjang Jun ini.

Kamarudin Ambak pula terlibat dalam pelbagai program adaptasi karya sastera ke televisyen yakni saluran TV1, antaranya seperti Sangheeta karya Allahyarham Azizi Haji Abdullah.

Seramai 30 peserta dijangka hadir dalam bengkel selama tiga hari ini, di Hotel Star Point, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Ini merupakan kali ketiga saya diundang sebagai pembimbing skrip oleh pihak DBP.  Manakala pentauliahan sebagai 'Munsyi Dewan' diberikan pada April lalu.

Kepada mereka yang terpilih menyertai bengkel ini, jumpa di sana untuk berkongsi ilmu.

Semoga bermanafaat!



Monday, June 17, 2013

Dahlia...Faizal Hussein semakin menyerlah


Drama Dahlia memasuki minggu ke-9 malam ini dengan episod 25 yang  banyak menampilkan lokasi di rumah percutian milik Dahlia di tepi pantai. Bermula dari episod ini, watak Fuad Sidek yang dilakonkan oleh pelakon 'otai', Faizal Hussien semakin menyerlah dan berkembang.

Minggu ini menyaksikan kebangkitan Dahlia untuk  menyara hidup  sendiri sebagai ibu tunggal. Razman pula memberi kebenaran kepada anak-anak mereka untuk  tinggal bersama Dahlia di 'beach house' itu kerana waktu ini adalah waktu cuti persekolahan yang panjang di hujung tahun.  

Dahlia semakin banyak mendapat tawaran kerja sebagai 'freelance' di syarikat perisian komputer.  Lantas sering terserempak dengan Fuad, jiran tepi pantai itu, di sebuah gerai kecil yang berdekatan.

Seterusnya, terjalin perkenalan yang lebih erat antara mereka - yang sebelum ini sekadar bersua dan bertegur sapa sepintas lalu. Fuad juga semakin mesra dengan emak dan anak-anak Dahlia.

Jangan lupa malam ini, jam 10 di Astro Mustika HD [Saluran 134]


Saturday, June 15, 2013

BUAL BICARA FILEM "KIL"


Esok, Ahad, 16 Jun akan diadakan sesi bual bicara filem KIL, bermula jam 12 tengahari hingga dua petang di Annexe Gallery, Central Market, Kuala Lumpur. Jangan lepaskan peluang bertemu dan berdiskusi  dengan karyawan filem yang semakin diperkatakan ini. Antaranya pengarah merangkap penulis skrip, Nik Amir Nik Mustafa, Rewan Ishak dan pelakonnya, Redza Minhat.

Acara ini merupakan sebahagian daripada Arts for Grabs & 6th KLAB [KL Alternative Book Fest] yang berlangsung selama dua hari - hari ini dan esok - yang ditaja oleh penerbit buku, FIXI.

Terbuka kepada orang awam. Masuk adalah percuma.

Monday, June 3, 2013

SINOPSIS DRAMA DAHLIA MINGGU KE-7

Diam tak diam, drama bersiri Dahlia sudah masuk minggu ke-7.  

Mulai minggu ini,  Dahlia  mengambil keputusan untuk  keluar dari rumah sementara di Kuala Lumpur kerana rumah itu milik Encik Halim. Dahllia enggan difitnah lagi kononnya dia ada hubungan sulit dengan Encik Halim.  Ini tentu akan menyukarkan usaha mendapatkan hak penjagaan anak-anak di mahkamah syariah.

Dahlia pergi ke rumah percutian tepi pantai yang dibelinya secara tunai dengan wang simpanan hasil bekerja selama 10 tahun, pada ulangtahun perkahwinanya yang ke-10 bersama Razman, beberapa bulan lalu.  Rumah yang kononnya hendak dihadiahkan kepada suami dan anak-anak itu - yang dianggap lambang cinta kasih mereka sekeluarga - kini menjadi tempatnya berteduh.

Tanpa anak-anak, Dahlia membawa diri ke tepi pantai itu bersama emaknya. Rumah itu lah satu-satu 'harta' yang ada padanya. Namun baginya, apa guna harta itu jika anak-anak tiada bersamanya.  Atas dasar itu, Dahlia nekad mahu terus berjuang mendapatkan hak penjagaan anak-anak dengan bantuan kawannya, Adilah, seorang peguam syariah.

Pada masa yang sama, Fuad yang tinggal di rumah  berdekatan, sering mengambil berat terhadap Dahlia. Fuad bekerja sebagai pemandu lori, tetapi   mempunyai banyak masa lapang untuk membantu Dahlia.

Teruskan mengikuti kesudahan kisah ini....

Friday, May 31, 2013

HARI-HARI TERAKHIR SEORANG SENIMAN... SEPANJANG JUN INI DI ASTRO 952

Sebuah lagi karya sastera,  Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman [HHTSS] telah di angkat ke medium televisyen pada Jun ini di slot Tayangan Hebat Astro Box Office Movies  - Saluran 952.  Saluran yang juga dikenali sebagai ABO  ini  mengkhusus kepada telemovie berkualiti tinggi dengan bajet besar dan lebih artistik persembahannya berbanding drama telemovie atau drama bersiri yang biasa kita lihat di televisyen. Slot ini sering menampilkan tema berbentuk kemasyarakatan dan budaya. Dalam industri tempatan, karya jenis ini dirujuk sebagai Super Telemovie atau Super Tele. Bagaimanapun, istilah yang lebih tepat  ialah "Made-for-tv Movie". 

Berbalik kepada HHTSS,  karya ini merupakan adaptasi daripada novel Sasterawan Negara yang ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan. Novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ini, pernah memenangi Peraduan  Mengarang Novel anjuran Yayasan Sabah-Gapena pada  1979.  Dan juga pernah diangkat ke  teater pada 1984 oleh aktivis teater, Datuk Johan Jaafar sebagai penulis dan pengarah.

Kini, mulai 1  Jun 2013,  ia kembali dalam bentuk layar televisyen pula.  Kali ini dengan sentuhan daripada Sabri Yunus sebagai pengarah dan penulis skrip. Umum mengenali Sabri  sebagai pelakon televisyen, pelakon teater dan pelawak yang  berwibawa. Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini Sabri mula menyerlah dalam bidang pengarahan. Telemovie arahannya, Sanggul Beracun pernah dinobatkan sebagai Drama Terbaik Anugerah Skrin 2011. Drama TV arahannya yang lain seperti Parut Asyikin dan Sebuah Piala Seekor Kambing.

HHTSS   dibawakan  oleh pelakon hebat, Wan Hanafi Su sebagai Pak Hassan dan akan menemui penonton di sepanjang bulan Jun ini.




Monday, May 20, 2013

DRAMA DAHLIA...SINOPSIS MINGGU KE-5 & 6



Semasa bercuti di Phuket, malang lagi menimpa Dahlia. Kedua anaknya telah  diculik dan dibawa lari ke Malaysia.

Rupanya Haliza adalah dalang kepada penculikan ini. Tujuannya untuk memerangkap Dahlia di Mahkamah Syariah dengan alasan Dahlia cuai dan tidak layak menjadi ibu kepada anak-anaknya.

Haliza juga memerangkap Dahlia dengan gambar-gambar bersama lelaki dan arak di kelab malam. Dia merancang semua ini ketika mereka  bersahabat dahulu - sewaktu mula menubuhkan syarikat usahasama HD Solutions Sdn Bhd - yang tiada kaitan dengan Razman. Waktu itu, Razman sibuk dengan syarikatnya bersama Dahlia, Tera-Scan Sdn Bhd.

Akhirnya, mahkamah memberikan hak jagaan sementara kepada Razman.

Thursday, May 9, 2013

DAHLIA...SINOPSIS MINGGU KE-4 [13-15 MEI]




Dahlia tiada apa-apa lagi kecuali anak-anak yang kini menjadi harta tidak ternilai baginya. Dia membawa anak-anak berpindah ke apartmen kos sederhana - tanpa  perabot atau kelengkapan kediaman yang sempurna.

Ibu Dahlia, Makcik Fatimah,  datang dari kampung untuk memberi semangat kepada Dahlia yang kini bergelar ibu tunggal.


Tidak lama kemudian, Dahlia membawa anak-anak ke Phuket untuk tenangkan perasaannya yang berkecamuk.