Saturday, December 31, 2016

LUPAKAN AZAM TAHUN BAHARU!

Mungkin ramai yang tidak sabar-sabar hendak memasuki tahun baharu, esok. Apa tidaknya, tahun baharu selalunya membawa semangat baharu. Saya juga tidak sabar kerana ini lah masanya untuk membuat pelbagai perancangan.  (Walaupun perancangan tahun lepas masih tidak terlaksana!)

Seperti tahun-tahun yang lepas, saya tidak mempunyai apa-apa azam yang spesifik. Sebaliknya, mempunyai hasrat yang sederhana. Sebagai contoh, dua tahun lepas, saya berhasrat untuk berehat daripada kerja-kerja penulisan. Kononnya mahu menumpukan kepada beberapa aspek lain yang lebih penting dalam kehidupan. Memang benar saya menggantung pen selama lima bulan. Namun, terpaksa menulis semula dengan aktif setelah akaun bank menunjukkan tanda-tanda tidak sihat! (Rujuk entri September 2015 bertajuk SUKU TERAKHIR 2015... BERLARI ATAU BERJALAN?)

Pada tahun ini (2016), saya kononnya mahu mempelbagaikan sumber pendapatan. Jadi, saya memilih dua perkataan Inggeris yang sesuai iaitu diversify dan versatile. (Rujuk entri Mac 2016 bertajuk KENAPA AZAM TAHUN BAHARU SERING KECUNDANG?)  Rentetan itu,  saya sibuk menghadiri pelbagai kursus di luar bidang penulisan. Antaranya seperti keusahawanan, kerohanian, pemasaran internet, kurus membina laman web, Neuro Linguistic Programing (NLP), pelaburan hartanah, pelaburan emas dan NLP spiritual. Tahun ini memang tahun yang menarik dan membuka minda! (walaupun topik-topik ini mungkin sudah basi bagi sesetengah orang)

Apa yang menarik pada tahun ini ialah kemunculan satu tabiat yang baharu iaitu bersenam. Alhamdulillah, saya berjaya mengekalkan rutin bersenam seminggu sekali sejak awal tahun ini sehingga lah ke hari ini. Itu pun setelah membaca buku bertajuk The Power of Habit oleh Charles Duhigg.  Buku ini menjelaskan dengan terperinci tentang apa yang mempengaruhi tabiat manusia. Kandungan buku ini lengkap dengan kajian saintifik dan ujikaji makmal. Ia terbahagi kepada tiga bahagian - menukar tabiat diri sendiri (sesuai untuk individu ), menukar tabiat ahli-ahli dalam sesebuah organisasi (sesuai untuk syarikat  korporat) dan menukar tabiat anggota masyarakat (sesuai untuk persatuan atau NGO). Memang buku ini memberi manafaat walaupun saya hanya membaca bahagian pertama!


Justeru apa pula untuk tahun 2017?


Setelah berjaya mengekalkan tabiat bersenam, kini saya berhasrat untuk tidur sebelum jam 12 malam. Tidur yang terbaik ialah tidur sebelum tengah malam. Ini fakta. Jadi, waktu tidur juga perlu dipanjangkan untuk tahun hadapan (mulai esok, ya). Kalau dahulu, tidur empat jam sehari sudah dianggap mewah, kini akan dipastikan tidur tidak boleh kurang daripada enam jam, InsyaAllah.

Masih tentang azam, semalam saya terbaca satu artikel tulisan Dr Cathleen O'Connor dari Amerika Syarikat di internet. Dr Cathleen mempunyai saranan yang lebih baik daripada  azam (yang kemudiannya menjadi 'pekasam'!) Beliau menyarankan kita menyemak semula kehidupan kita berdasarkan apa impian kita. Kemudian, gabungkan impian dengan tema tertentu untuk setahun. Sebagai contoh, beberapa tahun lepas, Dr Cathleen memilih tema simplifying my life. Berdasarkan tema ini, beliau telah me 'nyah' kan apa sahaja barang yang tidak digunakan yang  dianggap sebagai  'menyemak' di dalam rumahnya.  Misi 'mempermudahkan hidup' ini merangkumi memotong keahlian pelbagai persatuan atau organisasi yang tidak efektif, menyelesaikan hutang-hutang yang bertaburan, melupakan projek-projek terbengkalai yang tidak selaras dengan impiannya, malahan sanggup memutuskan hubungan dengan orang-orang yang tidak membantu mencapai impiannya. Pada tahun seterusnya, beliau memilih tema seperti completion - finishing what I start, I'm enough dan yang terkini, releasing the past. Saranan Dr Cathleen tentang impian dan tema tahun baharu agak praktikal untuk diamalkan. Dr Cathleen adalah seorang penulis kreatif, pakar motivasi dan pengacara rancangan radio.

Sehubungan dengan itu, mungkin tema yang sesuai untuk tahun ini ialah health is wealth! (meminjam ayat ejen insuran saya satu ketika dahulu)

Semoga tahun 2017 bakal membawa kemudahan dan keberkatan buat kita semua.


Nota kaki : gambar-gambar di atas telah dicuri daripada internet!

Friday, December 23, 2016

ANUGERAH TELENOVELA LAH PULAK!

Sidang media untuk memperkenalkan anugerah ini di FINAS.
Saya mendapat tahu tentang kewujudan Anugerah Telenovela pada Mac tahun ini apabila dua drama tulisan saya -  Cinta Pandang Ke-2 dan Dalam Iradat-Mu, menjadi antara 25 tajuk yang bersaing di pusingan awal. Kedua-duanya bersiaran pada tahun 2014.

Novel Cinta Pandang Ke-2 kelihatan di antara novel-novel lain.
Menurut berita di atas talian ketika itu,  anugerah ini dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara, FINAS dan beberapa organisasi lagi. Penyertaannya hanya melibatkan drama-drama televisyen  dan filem-filem yang diadaptasikan daripada novel. Menurut sumber yang sama ketika itu, majlis penyampaian trofi kepada pemenang akan diadakan pada bulan Jun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Bagaimanapun, tidak ada khabar berita lagi selepas itu. Saya sendiri tidak mengikuti perkembangannya lantaran sibuk dengan tugas-tugas harian. 

Sehingga lah pada minggu lepas, rakan-rakan penulis skrip memaparkan senarai pusingan akhir (lima teratas) bagi setiap kategori di grup whatsapp  Persatuan Penulis Lakon Layar Kuala Lumpur dan Selangor (PENULIS). Ramai yang terpinga-pinga kerana tidak tahu menahu tentang kewujudannya. Malahan, penulis skrip yang berjaya ke pusingan akhir juga tidak mendapat sebarang undangan.

Setelah disiasat, baharu lah kami mendapat tahu bahawa anugerah ini telah ditangguhkan selama setahun. Namun, terlaksana juga sempena Ekspo Buku Malaysia di PWTC  pada 14 hingga 18 Disember lepas. 

Drama Tuan Anas Mikhail terbitan Pena Creative Sdn Bhd berjaya membolot hadiah-hadiah utama dalam pelbagai kategori. Drama lain yang turut menyerlah seperti Teman Lelaki Upahan, Hati Perempuan, Hello Mr Perfect dan Cik Bunga & Encik Sombong. Dalam Iradat-Mu pula memenangi kategori Telenovela Popular. 

Gambar ihsan penerbit!
Dalam Iradat-Mu diadaptasikan daripada novel karya Hana Ilhami bertajuk Ya Maulana, terbitan Karya Seni Sdn Bhd. Drama rantaian ini disiarkan di saluran TV Al Hijrah  (114) sempena sambutan Maal Hijrah pada tahun 2014 iaitu pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, jam lima petang.

Selepas tamat tayangan 13 episod, drama arahan Allahyarham Ke-Oi Haji Khalid ini telah diulang tayang beberapa kali di saluran yang sama. Penulisan skrip dibantu oleh Zuli Ismail dan Eja Lorena. Watak utama dilakonkan oleh pasangan suami isteri, Zahiril Adzim dan Syiera Ayob.

Al Fatihah kepada arwah Ke-Oi. Semoga arwah mendapat ganjarannya jika ada penonton yang tersentuh dengan pesan-pesan yang baik di sepanjang kisah ini.

Nota kaki :  Dua gambar di atas telah di'curi' daripada laman sesawang FINAS!







SAH! BISIK PADA LANGIT KE PAWAGAM



Jangan lupa, ya.... awal Februari 2017,  katanya......



Wednesday, November 2, 2016

PECUTAN DI SUKU TERAKHIR 2016

Tatkala ini anak-anak yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) empat hari lagi sedang melalui apa yang dinamakan sebagai Pecutan Terakhir SPM 2016. Selamat maju jaya diucapkan buat anak-anak kita!

Situasi yang sama mungkin berlaku kepada ibu bapa yang mempunyai sasaran tertentu di dalam kerjaya atau kerja masing-masing. Tinggal dua bulan sahaja lagi untuk 2016 melabuhkan tirai. Mungkin ada beberapa sasaran untuk tahun ini yang belum tercapai. Mungkin kita mahu berhempas pulas untuk mencapainya sebelum 'count down' 2017?  Atau mungkin kita tidak punya apa-apa sasaran selain daripada menunggu bonus masuk ke dalam akaun dan boleh lah pergi bercuti di mana-mana tempat yang bersesuaian dengan jumlah bonus itu.

Hakikatnya, ada perbezaan di antara kerja dengan kerjaya. Kerja mungkin dilakukan oleh seseorang sekadar untuk memenuhi keperluan harian seperti makan minum, membayar ansuran rumah, kereta, bil-bil dan menghantar anak ke sekolah. Sedangkan kerjaya dilakukan untuk mendapatkan kepuasan peribadi. Orang yang bekerja mungkin tidak begitu gembira dengan kerjanya dan mungkin melakukannya kerana terpaksa - demi wang. Sebaliknya, orang yang mempunyai kerjaya selalunya lebih gembira dengan apa yang dilakukannya dan melakukannya dengan ikhlas tanpa dipaksa. Kewangan dan lain-lain ganjaran fizikal bukan lah matlamat utama buat golongan ini.

Pada kebiasaannya, orang yang bekerjaya akan meletakkan sasaran tertentu di dalam setiap tugasan dan mementingkan hasil jangkapanjang berbanding hasil jangkapendek. Orang yang bekerjaya juga mempunyai impian yang besar berbanding dengan orang yang bekerja. Orang yang bekerjaya bangga dengan kerjayanya manakala orang yang bekerja kadang-kadang atau kerap kali rasa menyampah dengan kerjanya.

Akhir sekali, orang yang bekerjaya menganggap bos sebagai mentor yang dikasihi dan diperlukan sepanjang masa. Sedangkan orang yang bekerja mungkin akan sentiasa mencari akal untuk mengelak daripada bos, 'ciluk' atau 'mengular' ketika bos tiada.

Di dalam kategori manakah kita? Tepuk dada dan rasa sendiri di dalam hati....


Tuesday, November 1, 2016

FILEM YANG MENGATASI LASKAR PELANGI




Warkop DKI Reborn (Part : 1)

Ini lah tajuk filem terbaharu daripada seberang yang telah berjaya mengatasi rekod jualan tiket Laskar Pelangi di negara itu. Filem yang berjaya meraih 6.8 juta penonton ini telah mengatasi Laskar Pelangi (2008) yang menarik penonton sebanyak 4.63 juta. (Indonesia mengira jumlah penonton, bukan jumlah jualan tiket seperti di Malaysia, ya)

Ceritanya tentang tiga orang polis iaitu Dono, Kasino dan Indro yang perlu menjaga keamanan masyarakat tetapi mereka telah menimbulkan pelbagai huru hara sehingga bos terpaksa memberikan tugasan yang lain kepada mereka.  Bagaimanapun sikap main-main mereka telah mengundang lebih banyak insiden yang melucukan.

Filem ini bakal ditayangkan di negara kita tidak lama sahaja lagi. Tayangan ekslusif untuk pihak media akan diadakan pada 9 November ini (Rabu). Terima kasih kepada Astro Shaw di atas jemputan. Sama-sama kita tunggu tayangan filem yang 'pecah panggung di Indonesia ini dan mungkin membuatkan kita pula yang 'pecah perut'!

Sunday, October 9, 2016

BIAR LAH SEPTEMBER BERBICARA

Bulan lepas adalah bulan yang menuntut saya bercakap banyak dan kurang menulis. Pada minggu pertama, saya dijemput sebagai ahli panel wacana industri kreatif anjuran pelajar komunikasi massa Kolej Teknologi Timur, Sepang, Selangor. Program komunikasi massa di kolej ini merupakan program berkembar dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Serasi bersama sebagai ahli panel forum
Seorang lagi ahli panel, pelakon ' otai'  Raja Noor Baizura. Mujur kami pernah bertemu dan berkenalan dalam salah satu pengambaran drama saya sebelum ini.  Biarpun perkenalan itu hanya singkat dan sekali sahaja, namun terserlah keserasian di antara kami berdua ketika sesi soal jawab. Mungkin kerana faktor usia dan pengalaman Raja Noor Baizura. Atau mungkin juga kerana nama kami hampir serupa!

Ketika sesi makan, kami sempat berkongsi pengalaman bekerja di dalam industri dengan beberapa pensyarah. Ini mengundang ketawa besar apabila kami menceritakan tatacara kerja yang caca marba, serba kekurangan dan tidak profesional. Sedikit sebanyak perkongsian kami itu membuka mata para pensyarah tentang hal-hal belakang tabir industri - yang sepatutnya kita 'menangis' mendengarnya tetapi kami memilih untuk menceritakan 'tragedi' dengan cara 'komedi'.

Jawapan spontan
Selang sehari, Astro mengadakan pratonton telefilem Bisik Pada Langit kepada pihak media di GSC Garden Mall,  Bangsar. Saya sebagai salah seorang penulis skrip (Seorang lagi  Sofia J Rhyland) 'terjebak' di dalam wawancara klip promosi. Banyak  soalan tentang proses kreatif.  Saya sekadar menjawab apa yang terlintas di fikiran ketika itu kerana tidak menjangka akan diwawancara.

Berkongsi hal peribadi dengan Che Li
Pada 22 September,  saya pula mewawancara penulis skrip berpengalaman, Che Li mengenai karyanya, Che Pa yang akan bersiaran di Astro First tidak lama lagi. Che Pa mengisahkan kehidupan seorang lelaki lembut yang menjadi penari Hadrah di negeri Perlis. Ini untuk esei akademik tentang Hadrah sebagai salah satu genre puisi Islam. Bagaimanapun, kami lebih banyak bertukar cerita tentang diri masing-masing berbanding tentang Hadrah!

4 P : (Dari kiri)  Pengkritik, Pengurus, Pelakon, Penulis.
Dua hari kemudian, diadakan lagi pratonton Bisik Pada Langit di HELP University, Subang Bestari. Sesi soal jawab melibatkan bos saluran, Saniboey Mohd Ismail, saya sebagai penulis skrip dan pelakon Umi Nazeera serta Beto Kusyairi. Kali ini saya membuat persediaan tentang proses kreatif. Justeru, saya menjadi seolah-olah 'Pak Jabit' mendapat 'mikrofon'! Selepas acara, saya ditegur oleh bos yang tidak sangka saya ini 'banyak cakap!' Moderator sesi itu tidak lain tidak bukan, pengkritik filem, Pak Hassan Mutalib yang memberikan komentar positif tentang Bisik Pada Langit.


Tetamu Kehormat : 
Profesor Datuk Seri Dr Md Salleh Yaafar.
Pada minggu terakhir, saya dan sahabat saya, penulis skrip terkenal lagi berwibawa, Siti Jasmina Ibrahim mengendalikan bengkel penulisan skrin di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Sambutan cukup menggalakkan  dari segi kehadiran dan penglibatan peserta di sepanjang bengkel berlangsung. Hampir semua peserta menunjukkan minat yang mendalam dan semangat yang membara melalui soalan-soalan yang diutarakan kepada kami berdua.  Alhamdulillah, semua peserta sungguh ceria dan 'sporting' terutama ketika sesi bergambar.

Jadi, biar lah September berbicara....











Thursday, September 1, 2016

LYGOPHOBIA - LIRIK (AKIM and the Majistret)

Lirik lagu tema Bisik Pada Langit
(Lygophobia - Akim and
the Majistret)
Nada berjalan, mencari si irama
Menyatu di dalam siulan, dipaksi
Muka ke alam, pandanglah ke diri
Betapa kerdilnya manusia, di bumi
Langit limpah hujan, sembuhkan luka
Angin tiup awan, terangkan dunia
Bulan bicara, kaburkan penglihatan
Meraba-raba dan mencari, si dia
Matahari, terbit kau di timur
Menyuluh ke segenap gelap, di hati
Inginku terbang di angkasa
Langit limpah hujan, sembuhkan luka
Angin tiup awan, terangkan dunia
Lagu: Laq
Lirik: Hang Nadim

Wednesday, August 17, 2016

YANG DITUNGGU-TUNGGU... FILEM TOMBIRUO (2017)

Para peminat tegar Ramlee Awang Murshid yang terkenal dengan novel-novel misteri dan thriller pasti tidak sabar untuk menonton adaptasi novel Tombiruo ke layar perak tidak lama lagi. Tunggu tau...!!! Dan sesungguhnya nama Ramlee Awang Murshid tidak perlu diperkenalkan lagi kepada para peminat novel Melayu tempatan.

Pengarah filem ini pula tidak lain dan tidak bukan, Nasir Jani yang membuat comeback setelah 27 tahun tidak mengarah. Nasir Jani merupakan salah seorang daripada idola saya pada era 80-an iaitu era kelahiran filem-filem Melayu yang berkualiti. Beliau yang boleh dianggap lagenda ini hanya mengarahkan dua filem sebelum ini iaitu Kembara Seniman Jalanan dan Rozana Cinta 87 tetapi cukup untuk memberi impak yang tersendiri kepada industri perfileman tempatan.

Sementara itu, barisan pelakon yang menjayakan filem ini seperti Farid Kamil, Zul Ariffin, Nabila Huda, Faisal Hussein, Hasnul Rahmat, Michael Chen, Farah Ahmad, Datuk M Nasir, Marlia Musa, Faye Kusairi, Dynas Mokhtar, Artu, R Azmi Ismail dan adik Muhammad Al-Rayyan.



Ramlee (kiri sekali) dan Nasir Jani (dua dari kiri)
Terima kasih kepada pihak Astro Shaw di atas jemputan ke sidang media pada Jumaat ini. 

DI ASTRO FIRST SEPTEMBER INI - SKRIP SOFIA RYHLAND & MAIZURA EDERIS, ARAHAN KABIR BHATIA, TERBITAN NUSANTARA SENI KARYA

Add caption

Tuesday, August 16, 2016

100 HARI SELEPAS SEMINAR DR AZIZAN OSMAN

Seratus hari telah berlalu. Hari ini saya terpanggil untuk menilai semula sejauh mana perkembangan diri ini selepas menghadiri seminar anjuran jurulatih pembangunan diri terkenal, Dr Azizan Osman. Banyak yang saya pelajari di seminar  tiga hari yang berkaitan dengan bisnes dan spritual itu. Bagaimanapun, saya mengambil keputusan untuk menumpukan kepada beberapa perkara sahaja seperti The Power of 21S, L.U.C.K.,  FFA, menukar cara berdoa dan memulakan bisnes dengan apa yang ada di tangan. Hanya mereka yang hadir ke seminar bertajuk Intensif Magnet Kekayaan dan Kejayaan (IMKK) itu yang faham apa maksud 21S,  L.U.C.K. dan FFA.

Saya mula mendengar tentang Dr Azizan Osman pada 2011 apabila seorang peniaga pakaian mencadangkan kepada saya supaya pergi ke seminar beliau. Saya masih ingat ayat wanita itu ketika saya membeli sehelai palazo daripadanya, "Awak ni dah meletup dah, tapi kalau nak lagi meletup, pergi lah ke seminarnya". Sayang sekali, tahun itu lah tahun paling sibuk untuk saya apabila tawaran menulis skrip datang bertali arus sehingga tidak menang tangan dibuatnya.

Zaini Kosnin (kanan/depan) bersama dua rakan industri kreatif,
kak Sri Diah dan suami, abang Ahmad Saabun.
Lima tahun kemudian iaitu pada Februari lepas, saya berbual pula dengan seorang rakan dalam bidang penulisan skrip, Zaini Kosnin melalui aplikasi whatsapp. Saya bertanya beliau, adakah kita mampu menjadi jutawan dengan menulis skrip? Soalan ini rentetan daripada kata-kata seorang penulis skrip hebat dan terkenal kepada saya suatu ketika dahulu bahawa menjadi penulis skrip tidak memungkinkan kita menjadi jutawan. Mengejutkan, Zaini menjawab yang sebaliknya iaitu 'boleh'! Namun, ada 'tetapi' nya, kata Zaini. Tetapi yang dimaksudkan itu ialah ianya 'lambat sedikit', kena buat secara 'berkumpulan' dan kena cari satu model bisnes yang sesuai untuk diaplikasikan di dalam kerjaya penulisan skrip. Zaini kemudiannya mencadangkan supaya saya pergi ke seminar Dr Azizan kerana beliau sudah pun menyertainya sebelum ini.

Keesokan harinya, saya terus menggelidah Youtube untuk meninjau beberapa video oleh Dr Azizan Osman. Satu yang menarik perhatian saya ialah video Live by Design yang merupakan kolaborasi beliau dengan Prof. Dr. Muhaya Mohamad. Setelah menelaah kesemua video dalam tajuk berkenaan, saya membuat keputusan untuk mengikuti IMKK. Apatah lagi topik-topik itu bukan lah asing bagi saya. Video itu hanya mengingatkan saya kepada perkara-perkara yang saya terlupa dan terlepas pandang sebelum ini. (Bukannya tidak tahu, tetapi tidak mengambil berat mengenainya)

Para peserta IMKK Mei 2016
Bagaimanapun, saya tidak sempat menyertai IMKK pada Mac. Hanya pada Mei saya berjaya menyertainya di tengah-tengah timbunan 'deadline'  bersama rakan penulis skrip, Shahanim Ramli, Ayuni Zamani dan suaminya, Zul Edward yang berkerja sebagai pengurus produksi. Di seminar itu saya bertemu dengan dua orang rakan lagi iaitu Jamiah Syukri, editor  ruangan wanita dan keluarga Berita Harian dan Nik Rashidah yang pernah menyertai bengkel penulisan skrip saya pada 2010. Selebriti lain yang kelihatan seperti Rozita Che Wan dan suami, Zain Saidin serta Norman Hakim. Mungkin ada lagi beberapa muka terkenal yang saya terlepas pandang, maklum lah saya membeli tiket yang paling murah di belakang! 

Dalam tempoh seratus hari ini, saya telah berjaya menyiapkan kerja-kerja yang tertangguh selama setahun rentetan daripada kekurangan motivasi untuk menulis, kebimbangan terhadap pasaran yang semakin merosot akibat faktor ekonomi  dan tidak yakin dengan industri filem dan televisyen mutakhir ini yang hanya nampak 'gah' daripada luaran, sedangkan dalamannya sarat dengan pelbagai isu yang tidak berkesudahan.

Alhamdulillah, saya selesai membayar 'hutang-hutang' skrip  yang lama tertunggak akibat kelemahan diri sendiri. Kini, saya melangkah ke satu dunia yang baharu iaitu sebagai pengkaji industri. Apakah yang akan dikaji itu dan melalui platform apa, insyaAllah akan dikongsikan di dalam entri yang akan datang.



Tuesday, July 26, 2016

PRESTASI FILEM MALAYSIA DI PERTENGAHAN 2016

Sudah agak lama saya tidak menyentuh tentang filem tempatan kecuali baru-baru ini tentang Jebat The Movie terbitan Astro.  Setelah memasuki suku ketiga, saya terpanggil untuk melihat prestasi filem tempatan dalam suku pertama dan suku kedua. Bagaimanapun, saya tidak dapat menyentuh tentang kualiti kerana belum menonton sebahagian besar daripadanya. Saya hanya sempat menonton dua buah filem iaitu Warna Cinta Impian dan Redha. 

Sudah menjadi kecenderungan di Malaysia, kutipan tiket menjadi kayu pengukur kejayaan sesebuah filem. Kecenderungan ini tidak lah wajar. Filem perlu dilihat lebih daripada aspek pulangan kewangannya. Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa RM juga penting untuk menjamin 'survival' filem tempatan di pawagam.

Dari aspek kutipan tiket, filem tempatan sangat memberangsangkan dalam suku pertama 2016 apabila Ola Bola dan Boboiboy mengutip RM15 juta lebih manakala Munafik, RM17 juta lebih. Mat Moto juga boleh tahan apabila membuka tirai dengan RM4 juta lebih. Ini seakan lonjakan daripada Polis Evo (RM17 juta) pada tahun lepas dan memberikan harapan kepada para penggiat filem tempatan.

Bagaimanapun, harapan punah dalam suku kedua. Kutipan tiket merudum seteruk-teruknya. Malahan ada yang hanya mengutip RM1,900! Filem-filem berbahasa Cina (Mandarin dan Kantonis) yang pernah mendapat kutipan tinggi pada tahun  2013 dan 2014 (rata-rata mampu mencecah antara RM1 juta lebih sehingga RM4 juta lebih) turut merudum kepada ratusan ribu sahaja pada tahun ini. Paling teruk, RM6,000.

Apa pun, jangan terus lemah semangat! Mari lah kita sandarkan harapan pada filem-filem yang akan mewarnai suku ketiga tahun ini. Antaranya, Dukun Doktor Dani, Temuan Takdir, Kampung Drift dan Kanang Anak Langkau. 

Dukun Doktor Dani arahan Sabri Yunus akan memulakan tayangan pada 28 Julai ini (Khamis) di seluruh Malaysia. Tayangan perdana berlangsung semalam dan menampilkan pelakon-pelakon seperti Fasha Sandha, Taufik Batisah, Rasya Risroze, Amirul Affendi, Khatijah Tan, Sani Sudin dan ramai lagi. Filem terbitan Astro Shaw ini turut menampilkan Sabri Yunus sebagai pelakon dan pelawak kesayangan ramai, arwah Yus Edoo yang telah pun kembali ke rahmatullah pada tahun lalu (al-Fatihah).

Akhir kata, semoga filem kita terus bernafas dengan udara yang segar dan RM yang berkepuk-kepuk selepas ini, ya!

Sumber : laman sesawang Finas.

Monday, July 18, 2016

TERMENUNG DI SUKU KETIGA 2016

Memasuki suku ketiga tahun ini, saya termenung seketika. Apa tidaknya, gara-gara melihat jumlah pendapatan setakat ini - baki akaun yang berakhir pada 30 Jun. Jumlah ini hanya lah hasil yang digembelingkan daripada aktiviti-aktiviti berkaitan industri kreatif tempatan (termasuk yuran mengajar).

Sekadar makluman kepada mereka yang belum tahu, ahli perniagaan dan syarikat korporat membahagikan setahun kepada empat bahagian dengan tiga bulan setiap bahagian. Tujuannya untuk mengira pendapatan, memberikan dividen (keuntungan daripada pelaburan),  membuat unjuran pendapatan untuk bulan-bulan seterusnya dan menetapkan sasaran yang realistik untuk dicapai. Berbeza dengan saya sebelum ini, lumrah seorang penulis, hanya mengira pendapatan setahun sekali untuk tujuan pembayaran zakat. Saya tidak pernah meletakkan apa-apa sasaran dari segi kewangan. Apa yang terlintas di hati selama ini hanya lah  untuk mencari 'job', menerima apa sahaja yang datang dan menulis walaupun kadang-kadang dalam keadaan terpaksa. Justeru, sering saya sebut dalam kelas-kelas penulisan skrip  tentang 'menulis kerana hendak membayar bil', sehingga ayat ini menjadi akrab dengan telinga peserta-peserta kelas saya.

Bagaimanapun, saya mula berubah setelah menghadiri seminar hartanah Azizi Ali pada Januari, seminar bisnes merangkap spritual Dr Azizan Osman pada Mei lepas dan berbual panjang dengan jiran saya yang merupakan seorang perunding saham amanah. Banyak yang dipelajari daripada mereka. Berbaloi dengan wang yang dibelanjakan untuk dua seminar oleh nama besar itu.

Saya kini mula berfikir seperti ahli perniagaan dan mengambil serius akan kewangan. Namun, pada masa yang sama, terus memikirkan bagaimana hendak memberikan 'impak' dalam penulisan. Saya kemudiannya mengikuti instagram pakar-pakar motivasi terkenal antarabangsa. Akhirnya menjumpai satu kata-kata perangsang oleh Mel Robins iaitu "To make an income while making an impact". Wahhh, jelas bukan!

Mel Robbins terlibat dalam bidang motivasi sejak 15 tahun yang lalu. Ceramahnya yang terkenal bertajuk "How to Stop Screwing Yourself Over" boleh dilihat di platform Ted Talk (video Youtube) yang sehingga kini mendapat lebih 6 juta tontonan.




Friday, June 24, 2016

Bimbo - Rindu Kami Pada Mu (Muhamad S.A.W.) - Lagu inspirasi setiap kali menulis skrip!

CINTA 11 SYARAT & SETEGUH KASIH RAMADAN - MINGGU TERAKHIR

Begitu cepat masa berlalu, kan? Sedar tak sedar, sudah dua pertiga Ramadan berjaya ditamatkan. Kini tinggal lagi satu per tiga yakni 10 malam terakhir. Masa untuk terus perbanyakkan amal di waktu malam dan shopping di waktu siang!
Sementara itu, drama rantaian Cinta 11 Syarat dan Seteguh Kasih Ramadan juga bakal memasuki minggu akhir pada minggu hadapan (episod 16 hingga 20). Teruskan menonton dan mendengar kedua dua drama ini untuk mengetahui apakah kesudahan kisahnya.

Cinta 11 Syarat Episod 10 - 'view' tertinggi di Youtube!

Cinta 11 Syarat Episod 13 - Akhirnya trending!

Tuesday, June 14, 2016

MENAMATKAN SUKU KEDUA 2016

Dua minggu lagi berakhir lah suku kedua untuk tahun ini. Bermakna setengah tahun sudah dilalui dengan jaya. Atau pun dilalui dengan  teruk? Sesungguhnya berjaya atau teruk bergantung kepada perspektif masing-masing. Sekiranya kita meletakkan sasaran yang tinggi dan sukar dicapai, tentu kita rasa teruk  sekiranya pada tahap ini, apa yang diinginkan itu masih belum tercapai. Sebaliknya, jika kita meletakkan sasaran yang realistik, mungkin kita sudah mendapatnya sekarang dan boleh lah meraikan kejayaannya. Atau jangan fokus kepada apa yang kita tidak dapat, sebaliknya fokus kepada apa yang diperolehi sejak awal tahun ini dan bersyukur dengannya. Jadi, penting untuk kita meletakkan banyak sasaran yang kecil-kecil dan mudah berbanding satu sahaja sasaran yang besar dan sukar.

Saya telah menetapkan beberapa azam yang kecil-kecil dan sasaran yang sederhana tetapi penting untuk manafaat jangkapanjang samada dari segi kerjaya atau peribadi. Alhamdulilllah setakat ini berjalan lancar. Sesekali ter'kantoi' itu biasa lah....tetapi mujur dapat  cepat-cepat kembali ke landasannya. Antara punca 'kantoi' itu selalunya disebabkan sikap malas, mudah lemah semangat dan banyak alasan.

Penting untuk kita letakkan sasaran untuk satu hari, satu minggu, satu bulan, suku tahun, satu tahun, lima tahun , 10 tahun dan 30 tahun. Wah...30 tahun! Bermakna saya berusia 76 tahun ketika itu! Apa saya nak capai pada usia itu kalau umur panjang? Ya, semua itu perlu difikirkan dan dirasai mulai dari sekarang! Orang yang berjaya telah membuktikan yang mereka mempunyai perancangan terperinci dan jelas untuk setiap fasa kehidupan mereka. Orang yang berjaya sebenarnya telah tahu dari awal lagi yang mereka akan mendapatnya. We are what we think, kata orang putih.

Sasaran saya sebelum 30 Jun ini ialah untuk menyiapkan semua kerja-kerja penulisan skrip yang tertangguh sejak tahun lepas lagi. Semoga berkat Ramadan ini, saya berjaya mencapainya, InsyaAllah.

Bagaimana dengan kalian?

Salam Ramadan.




CINTA 11 SYARAT - EPISOD 5

Maaf, saya tidak dapat berkongsi episod 5 daripada Youtube kerana tiada suara. Harap semua dapat menontonnya di Astro Prima saluran 105 dan Maya HD saluran 135 jam 6 petang. Sementara itu, teruskan mendengar radio IKIM.fm pada jam 4.15 petang, ulangan jam 11 malam dan 4 pagi, ya!

Thursday, June 9, 2016

JEBAT DI LAYAR PERAK LAH PULAK!

Penangan watak Jebat dalam drama rantaian Bukan Kerana Aku Tak Cinta di Astro Mustika HD beberapa tahun lalu kini melahirkan pula Jebat The Movie. Filem ini mengekalkan pengarahnya, Jamal Khan tetapi menggunakan khidmat penulis skrip, Nik Naemah Nik Maher. Pada masa yang sama, Nik Naemah turut terlibat sebagai penerbit penyelaras untuk filem ini.

Saya sempat bertemu dengan dua karyawan hebat ini di Hotel Heritage, Ipoh pada minggu lalu, ketika mereka sedang menjalani pengambarannya.

Kami mengimbas kenangan lama ketika Jamal pertama kali mengarahkan drama televisyen,  Tangisan Bulan Madu. Ia adalah skrip saya yang mana tajuknya terus kekal sebagai tajuk blog ini sampai sekarang. Pengalaman arahan pertama itu membawa ke pencalonan drama rantaian Anugerah Skrin. Kita mengharapkan tuah yang sama untuk filem arahan pertama beliau ini, InsyaAllah.

Berbalik kepada Bukan Kerana Aku Tak Cinta, karya ini merupakan adaptasi daripada novel ke televisyen dan  dianggap sebagai  'pecah tv' kerana  sambutan yang menggalakkan daripada penonton. Drama ini diterbitkan oleh Pena Creative Sdn Bhd, milik Puan Ziela Jalil.


Gambar-gambar belakang tabir  ini diberikan oleh pihak Perhubungan Awam dan Pemasaran Astro Shaw Sdn Bhd. Unit Drama Premium  & Filem Astro turut terlibat sebagai penerbit manakala pelakon utama kekal sebagaimana dramanya iaitu Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose.


Wednesday, May 11, 2016

GENRE BAHARU...SEMANGAT BAHARU

Alhamdulillah, saya kini melangkah ke genre baharu iaitu skrip drama radio. Ini sesuatu yang sangat menarik kerana ia mengasah kemahiran berdialog dengan mantap  dan menerangkan sesuatu yang penonton tidak akan nampak, tetapi hanya boleh mendengar.  Satu kemahiran yang cukup luar biasa. Saya tabik kepada rakan-rakan yang sudah lama menguasai kraf (craftmanship) ini. Bukan senang sebenarnya.

Pembabitan saya dalam dunia radio nyaris bermula pada Ramadan tahun lepas apabila tiba-tiba sahaja dihubungi oleh penerbit merangkap DJ  Radio IKIM, Nik Hasnah. Bagaimanapun, komitmen dengan TV Al Hijrah ketika itu telah membantutkan hasrat kami untuk bekerjasama.  Apa pun, saya tetap mampu menyumbang satu skrip untuk siaran drama khas sempena hari raya haji bertajuk Kasih Firdausi.

Kini, saya melangkah setapak lagi dengan menghasilkan 21 episod untuk siaran drama khas sempena bulan Ramadan yang akan datang tidak lama lagi. Tajuknya Seteguh Kasih Ramadan. Drama ini ditaja oleh Islamic Relief Malaysia.

Tunggu...

Akan datang! Seteguh Kasih Ramadan. Ditaja oleh...

Friday, April 8, 2016

BERAKHIRNYA SUKU PERTAMA 2016

Suku pertama 2016 sudah pun berakhir. Jadi, bagaimana dengan azam kalian? Masih berterusan? Atau sudah pun ke 'laut'? Saya masih bertungkus lumus dan kadang kala tersasar dalam  meneruskan azam tahun ini. Biarpun ia lebih bersifat 'recycle' azam lama, komitmen untuk meneruskannya  sedang diperkuatkan dari hari ke hari.

Seperti mana pada tahun lepas, tahun ini saya menjurus kepada penjagaan kesihatan diri dan keseimbangan dalam kehidupan (work-life balance).  Dua aspek ini sangat penting tetapi telah terabai semata-mata untuk memberi laluan kepada kerjaya.

Kerjaya di dalam industri filem dan drama televisyen tempatan memang kelihatan lumayan. Bagaimanapun, ia menuntut banyak pengorbanan dari segi masa - samada masa untuk diri sendiri, untuk Tuhan, untuk keluarga atau untuk kawan-kawan.

Pejabat saya di USM, Pulau Pinang.
Apabila jumlah wang yang diterima untuk satu-satu projek penulisan dibahagikan dengan jumlah masa untuk menyiapkannya,  kadang-kadang  boleh jadi tidak  berbaloi pula. Melainkan kalau mampu menulis satu episod skrip  drama tv dalam sehari. Malangnya, saya tidak pernah berjaya melakukannya.  Paling cepat pun satu episod dua hari dengan masa 12 sehingga 14 jam sehari.  Dan untuk menyiapkan 13 episod  (satu musim) memerlukan masa sebulan setengah dengan terpaksa bekerja tujuh hari seminggu. Ini bermakna tiada istilah bersantai di hujung minggu seperti kebanyakan orang lain. Tempoh kerja ini pula hanya untuk drama percintaan remaja yang ringan. (Masa yang lebih panjang diperlukan untuk drama genre lain yang berat dan mendalam penceritaannya)

 Ini lah yang dikatakan bayaran tidak setimpal buat penulis kategori 'lambat' seperti saya (yakni setelah dibahagikan dengan jumlah jam bekerja). Upah nampak banyak tetapi hakikatnya sedikit. Penat lelah jauh lebih terasa berbanding upah yang diterima. Dalam sesetengah kes mungkin memudaratkan kesihatan dari segi jangkapanjang apabila tidak cukup tidur. Tempoh paling afdal untuk orang dewasa tidur pada waktu malam adalah lapan jam.

Percutian keluarga di pulau Koh Lipe, Thailand pada Disember 2015


Saya sering rasa bersalah apabila ada orang bertanya bagaimana saya membahagi masa antara keluarga dan kerja penulisan. Jawapannya ringkas sahaja - pengorbanan. Maknanya, tiada pembahagian masa yang sama rata di antara keluarga dan kerjaya. Salah satu mesti dikorbankan. 

Apa pun, tiada pekerjaan yang sempurna di dalam dunia ini. Setiap pekerjaan pasti ada turun naik dan pasang surut. Paling tidak pun, semangat kita yang turun naik/pasang surut biar pun betapa kita sayang akan pekerjaan kita. Buat lah apa yang kita suka buat atau mat saleh kata 'do what you love'. Ini resepi kejayaan yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun. Dan sekiranya seseorang itu berada lebih daripada 10 tahun di dalam pekerjaan yang sama, ini bermakna dia memang sayangkan kerjanya itu.  Atau sekurang-kurangnya, serasi dengan jiwa. Akan tetapi, sayang atau serasi  tidak bermakna kita perlu setia kepadanya seratus peratus, apatah lagi jika ia tidak lagi menguntungkan.

Akhir kata, selamat mengharungi arus 2016  yang masih panjang ini dengan lebih cekap dan yakin. Ingat juga pesan nabi, 'jadi lah manusia yang boleh memberi manafaat kepada orang lain'.





Tuesday, March 1, 2016

KENAPA AZAM TAHUN BAHARU SERING KECUNDANG?

Hari ini saya sempat menghadiri seminar percuma tentang pemasaran internet. Seminar ini anjuran tokoh terkenal Asia Tenggara, Fabian Lim. Bagaimanapun, sesi prebiu ini dikendalikan oleh anak didik beliau yang saya tidak ingat namanya.  Saya mengetahui tentang seminar ini melalui Facebook, media sosial yang masih berpengaruh buat masa ini.

Sebagai pembuka kata, penceramah bertanya beberapa soalan tentang diri peserta. Antaranya, siapakah yang berjaya mengekalkan azam tahun baharu sampai hari ini, memandangkan suku pertama 2016 akan berakhir dalam masa sebulan sahaja lagi. Tidak ramai yang berani mengangkat tangan termasuk saya!

Awal tahun ini saya tidak menetapkan apa-apa azam memandangkan azam tahun lepas pun awal-awal lagi sudah ke laut! (Sila rujuk entri saya pada September 2015 bertajuk  Suku Terakhir 2015 - Berlari atau Berjalan?)

Bagaimanapun, saya mempunyai perancangan untuk tahun ini iaitu diversify. Dalam kata lain, mahu mempelbagaikan sumber pendapatan. (Sila rujuk entri pada Januari 2015 bertajuk Tahun Baharu 2016 - Antara Dua Kerja, Diversify dan Versatile)

Saya telah menambah satu lagi sumber pendapatan pasif melalui pelaburan saham amanah. Kemudian, menghadiri seminar pelaburan hartanah.  Terkini, seminar pemasaran internet. Pada masa yang sama, membuat kajian di internet tentang digital publishing dan minda positif menuju kejayaan. Saya mengunjungi semula tokoh-tokoh yang dikenali melalui buku suatu ketika dahulu seperti Bob Proctor dan Napoleon Hill. Kini, saya menziarahi mereka di Youtube sahaja kerana lebih mudah dan cepat daripada mencari buku yang terperuk dan berhabuk di dalam pejabat.

Dalam konteks mencari ilmu baharu untuk tujuan diversify (kepelbagaian sumber pendapatan), setakat ini saya belum lagi tersasar daripada landasan yang ditetapkan pada awal tahun. Dalam masa dua bulan ini, banyak ilmu baharu dikutip manakala ilmu lama yang sudah layu telah disegarkan semula.

Berbalik kepada azam tahun baharu, saya mula mendapat jawapannya ketika bersenam di taman pagi tadi. Kenapa azam kita selalu kencundang di penghujung Januari? Ini kerana kita terlalu bercita-cita tinggi dalam membuat perubahan diri. Kita meletakkan azam setinggi langit. Apabila kita gagal melakukannya secara konsisten selama 30 hari, kita mula patah semangat. Akhirnya, azam menjadi pekasam sebaik masuk bulan Februari.

Sebaiknya, tetapkan lah azam yang mudah untuk ditunaikan tetapi selaras dengan apa yang kita inginkan.  Tumpukan kepada perkara kecil tetapi bermakna. Cuba buat perubahan sedikit demi sedikit, bukan dengan secara mendadak. Mulakan dengan yang paling mudah. Sebagai contoh, kurangkan pengambilan kopi (kafin), solat sebaik masuk waktunya, jangan tangguhkan kerja, tidur sebelum pukul 12 malam, bersenam pada hari Ahad (seminggu sekali sahaja) dan sebagainya. Perkara-perkara yang saya sebutkan ini sering berkaitan dengan tabiat orang-orang di dalam bidang kreatif - satu tabiat yang tidak sihat.  Mungkin dengan cara ini kita tidak mudah putus asa apabila azam tahun baharu gagal dilaksanakan.

Jadi, mulakan azam yang kecil sekarang - yang berkaitan dengan tabiat kurang elok atau kurang efektif. Siapa kata azam mesti dibuat pada bulan Januari? Pada saya, perubahan boleh dibuat setiap hari seperti kata pepatah "hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini".

Selamat mencuba, ya.


















Monday, February 8, 2016

Selamat Pengantin Baharu Syatilla Melvin

Hari ini adalah hari pernikahan Syatilla Melvin dengan pelakon terkenal, Shaheizy Sam. Semalam, saya sempat melihat sepintas lalu gambar-gambar  berinai dan bertunang Syatila di twitter dan instagram.  Bagaimanapun, pagi ini saya terpanggil untuk memuat naik gambar-gambar pernikahan Syatilla di dalam dunia fiksyen yakni dunia lakonan.

Episod terakhir Kemboja Di Hati pada hari Rabu hadapan (17 Februari 2016) akan mempersembahkan babak-babak pernikahan Cikgu Syatila yang dilakonkan oleh Syatila Melvin.

Di dalam dunia realiti, kita tahu dengan jelas siapa pasangan Sytatila Melvin. Namun, di dalam dunia fiksyen Kemboja Di Hati, siapa pula pasangan Cikgu Syatila? Adakah Faisal (lakonan Ashraf Muslim) yang telah ditolaknya dalam episod minggu lepas? Atau Profesor Imtizam (lakonan Eizlan Yusuf) yang diminatinya dalam diam?


Watak Cikgu Syatila diangkat daripada novel bertajuk sama karya Ramlah Rashid terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Kebetulan  nama pelakon yang terpilih menyamai nama watak di dalam novel ini.

Kemboja Di Hati membawakan kisah seorang aktivis pertubuhan amal yang terlalu sibuk menyertai misi kemanusiaan di luar negara sehingga terlepas pandang akan  anak-anaknya di rumah. Kematian isteri telah mengubah segalanya.



Tentang Syatilla Melvin pula, beliau diperkenalkan buat pertama kali di layar kaca melalui drama yang skripnya ditulis oleh saya bertajuk BFF...Teman Tapi Mesra pada 2012.  Syatilla kemudiannya popular menerusi drama Ramadan Yang Hilang (Skrip oleh Shahrulezad Mohamaden yang mana saya turut membantu penulisannya). Bagaimanapun, saya tidak tahu  yang beliau sekampung dengan saya sehingga lah apabila diberitahu oleh seorang rakan.

Semoga berbahagia buat Syatila dan Sam - #SAMTILLA



Nota : Lokasi pengambaran di Masjid Darul Kifayah, Gombak manakala baju pengantin tajaan jenama terkenal Ezuwan Ismail.






Thursday, January 7, 2016

MULAI 6 & 7 JANUARI 2016, JAM 9.30 MALAM DI TV AL HIJRAH (ASTRO & HYPPTV SALURAN 114)


TAHUN BAHARU 2016... ANTARA DUA KERJA, 'DIVERSIFY' DAN 'VERSATILE'.

Sudah seminggu kita berada di tahun baharu 2016. Saya memulakan hari pertama pada Jumaat lepas dengan meluangkan masa bersama jutawan Azizi Ali dan pakar motivasi terkenal Profesor Dr Muhaya. 

Wah! Nampak hebat, bukan?

Hahaha...jangan kagum dahulu. Sebenarnya, saya hanya mendengar buku audio Azizi Ali tentang pelaburan emas dan ceramah-ceramah Prof Muhaya di Youtube tentang minda positif. Perkongsian daripada kedua-dua tokoh ini sangat bermanafaat dari segi kewangan dan emosi.

Tahun 2016 akan kita diharungi dengan desas-desus tentang ekonomi negara yang mula menunjukkan tanda-tanda kurang sihat. Beberapa petunjuk telah kelihatan pada tahun 2015 dan seawal tahun 2014.

Bagi saya yang bekerja sendiri (freelance) di dalam industri seni, media dan hiburan, memang patut mengambil tahu tentang ekonomi. Apabila ekonomi gawat, bidang ini lah yang akan terjejas dahulu. Seni dan hiburan bukan lah keperluan asas sebagaimana makanan, pakaian, kesihatan dan pendidkan.

Apabila tidak ada duit lebih, orang tidak akan ke panggung wayang, tidak membeli tiket konsert atau album artis. Manakala pengeluar produk tidak akan mengiklankan produk mereka di televisyen. Sekiranya iklan berkurangan, televisyen akan mengurangkan pengambilan program baharu. Sebaliknya, akan menggantikan dengan siaran ulangan program lama atau membeli program daripada luar negara yang murah melalui 'syndicated'. Mungkin ada slot drama yang ditutup atau dikurangkan kos pembeliannya. Lebih buruk, mungkin ada jabatan di dalam sesebuah stesyen itu ditutup (Harap-harap keadaan tidak lah seburuk ini)

Keadaaan ini pernah berlaku ketika Krisis Kewangan Asia 1997. Dan berulang akhir-akhir ini apabila dua buah syarikat penyiaran telah membuang pekerja. Sektor media cetak iaitu penerbitan majalah dan suratkhabar juga terancam kerana kegagalan syarikat membuat untung disebabkan kos pengeluaran yang tinggi, sedangkan permintaan semakin berkurangan. Saingan daripada media baharu seperti internet turut membuatkan media tradisional (media cetak) merosot dengan lebih pantas.

Jika dahulu kegawatan ekonomi membabitkan rantau Asia sahaja, sekarang mungkin melibatkan satu dunia. Kejatuhan harga minyak seperti yang dilaporkan oleh BBC, berpunca daripada pengurangan permintaan daripada negara Cina dan Eropah (salah satu faktor).

Di dalam negara pula, syarikat-syarikat pengeluar produk berjenama antarabangsa sudah tidak lagi menaja program-program siaran secara langsung di televisyen - yang melibatkan belanja sekitar RM2 juta sehingga RM3 juta. Keadaan ini berpunca daripada syarikat antarabangsa turut berhati-hati berbelanja. Namun, kita bersyukur kerana masih ada syarikat-syarikat tempatan yang mampu menaja program-program hiburan yang disiarkan secara langsung di kaca tv kita. Walaupun kadang-kadang kita 'menyampah' dengan penampilan sesetengah taukeh syarikat yang menaja itu. (Hehehe...)

Apa pun, di sebalik petunjuk-petunjuk ekonomi yang kurang memberangsangkan, langkah mesti diteruskan dengan yakin, positif dan bersemangat. Bagi yang mempunyai pekerjaan tetap, jaga lah pekerjaan kalian sebaiknya. Bagi yang bekerja sendiri (freelance) seperti saya dan di dalam industri yang rapuh pula, mungkin perlu memikirkan tentang "diversify" (kepelbagaian). Namun, ini bukan lah bermaksud membuat dua kerja (hehehe). Hanya membuat beberapa jenis pekerjaan yang berbeza dalam waktu-waktu yang berbeza, dan mungkin juga di dalam industri atau bidang yang berbeza. Matlamatnya untuk memperbanyakkan sumber pendapatan, selain menjadi lebih versatile. Itu sahaja.

Akhir kata, selamat tahun baharu. Semoga kita semua benar-benar selamat!