Monday, December 29, 2008

SELAMAT TAHUN BARU 1430H

Salam Maal Hijrah. Hari ini tahun baru. Dari segi peribadi, saya berazam untuk lebih menjaga kesihatan dan mengawal perbelanjaan harian. Dari segi kerjaya, saya mahu melupakan kekecewaan terhadap karya-karya yang ditolak, tidak diteruskan lagi atau masih tertangguh tayangannya. Saya mahu memandang ke hadapan iaitu terhadap karya-karya baru yang sedang diusahakan untuk tahun 2009. Tentang TBM 2, kertas cadangannya sudah pun berada di meja pegawai RTM sejak November lalu. Namun, sehingga kini belum ada sebarang keputusan. Dan cuti yang banyak di hujung tahun menyukarkan Suryati, penerbit eksekutif, membuat susulan kepada pegawai yang berkenaan. Justeru, sama-sama lah kita nantikan keputusannya kelak. Mudah-mudahan tahun ini kita mendapat berita gembira, InsyaAllah.

Thursday, December 25, 2008

CINTA TERAKHIR-BUKAN YANG TERAKHIR

"Cinta Terakhir" adalah skrip filem pertama saya. Skrip ini ditulis ketika saya masih ‘budak hingusan’ dalam industri filem dan drama tempatan. Tajuk asalnya (working title) adalah "Puisi Cinta Terindah". Dan ia terpendam selama lima tahun di meja beberapa penerbit. Hanya pada hujung 2005, ada penerbit yang sudi ‘roll’ skrip berkenaan. Tayangannya dijadualkan pada Disember 2006. Namun, di saat-saat akhir, penerbit menarik tayangannya dari pawagam kerana beberapa masalah. Kini, setelah dua tahun, filem itu masih tidak menemui penonton. Cinta Terakhir adalah yang pertama, tetapi ia bukan yang terakhir. InsyaAllah saya akan menghasilkan satu lagi naskah untuk filem sekiranya waktu mengizinkan. Sila lawati blog http://www.filem-cinta-terakhir.blogspot.com

Wednesday, December 17, 2008

JAWAPAN BUAT SITI JARUM-PART 4

Penulis skrip bekerja dalam batasan masa dan bajet yang terhad. Biasanya, jarak masa antara tarikh kelulusan konsep dengan tarikh tayangan ( TX) sangat dekat. Kerap berlaku penulis skrip memberikan 'kuah' sahaja kepada konsep yang pada awalnya ber'isi'. Alasannya, "tak sempat research". Karya itu kemudiannya diburukkan lagi oleh pembikinan (the making) yang dibuat tergesa-gesa kerana mengejar TX. Faktor bajet pula, lazimnya berkaitan dengan latar. Mungkin Siti Jarum lupa bahawa industri kita tidak seperti Hollywood yang mampu mencipta 'mock-up' tanah runtuh di dalam studio. Jika mahukan pengambaran di latar sebenar, pihak berwajib tentu tidak membenarkannya buat masa ini. Ini adalah halangannya. Tidak hairan lah kalau kita lihat ada skrip televisyen karya penulis sastera yang juga tidak sehebat mana dari segi isi dan persembahannya. Ada di kalangan mereka, pemenang anugerah sastera dan mantan peserta Minggu Penulis Remaja, Dewan Bahasa Pustaka. Ini juga satu fakta yang tidak disedari oleh Siti Jarum. Sebagai rumusan, penulis sastera mampu menulis apa jua yang terilham di kalbu masing-masing. Tiada batasan dari segi konsep, jangkamasa penghasilan karya dan kos pembikinan karya. Sedangkan penulis skrip mempunyai batasan ini. Pun begitu, pada dasarnya, penulis skrip dan penulis sastera bekerja untuk medium yang berbeza matlamatnya. Sastera bertujuan mematangkan pemikiran khalayak. Manakala televisyen bertujuan mengaut keuntungan maksima melalui ratings.

JAWAPAN BUAT SITI JARUM-PART 3

Ada satu fakta yang Siti Jarum harus faham. Penulis skrip bekerja secara berpasukan. Pasukan ini terdiri daripada pelbagai latarbelakang pendidikan, tahap ilmu, pemikiran dan budaya kerja. 'Figure' paling dominan dalam pasukan ini tentunya eksekutif stesyen. Dalam menentukan sesuatu konsep samada ringan atau berat, berfikir atau tidak, berjiwa atau tidak, suara eksekutif stesyen adalah suara nombor satu. Nombor dua adalah suara pemilik syarikat penerbitan dan eksekutif-eksekutifnya. Nombor tiga adalah pengarah. Suara penulis skrip biasanya berada di tempat keempat. Ini lah hiraki suara yang terlibat semasa proses pembentukan konsep. Seterusnya, pengambaran. Waktu ini, penulis skrip sudah tidak lagi mempunyai apa-apa lesen. Segalanya bergantung kepada kreativiti, tahap ilmu, kefahaman, pemikiran, disiplin dan budaya kerja si pengarah. Dia lah yang mentafsir dan menterjemahkan sesebuah karya. Ini bermakna, selain penulis skrip, ada tiga pihak yang turut bertanggungjawab menentukan apa yang lebih - samada isi? Atau kuah?

JAWAPAN BUAT SITI JARUM-PART 2

Kebanyakan penulis skrip berpendapat Siti Jarum tidak wajar membandingkan penulis skrip TV dengan penulis sastera. Biarpun kerjanya sama iaitu menulis, namun matlamat dan pendekatannya berbeza. Matlamat TV adalah keuntungan maksima melalui pendapatan iklan. Pendapatan ini bergantung kepada jumlah penonton (ratings). Dan majoriti penonton mahukan hiburan, bukan mahu berfikir. Sekiranya mereka mahu berfikir, mereka akan mencari buku-buku berkualiti. Buku-buku sastera pastinya. Ini lah pendirian stesyen televisyen terutama stesyen swasta pada masa kini. Stesyen kerajaan pula 'terpaksa' menununjukkan sedikit sifat tanggungjawab dengan mempersembahkan beberapa kerat program yang ber'isi' dan 'berfikir'. Justeru, tidak ramai yang tahu bahawa penulis skrip kita mampu melahirkan konsep yang ber'isi' dan 'berfikir'. Namun, kertas konsep itu sering terbiar begitu sahaja di meja eksekutif stesyen. Ada yang berjaya dipanggil untuk persembahan atau lontaran idea (sering disebut pitching). Akan tetapi ia gagal dengan alasan, "berat". Ramai penulis skrip gagal sewaktu pitching kerana mereka tidak peka bahawa stesyen mahukan drama ringan dan hantu-mantu. Mungkin Siti Jarum tidak pernah bertemu dengan penulis skrip yang gagal ini. Jumlah mereka ramai juga!

Tuesday, December 16, 2008

JAWAPAN BUAT SITI JARUM-PART 1

Ahad lalu, 14 Disember, Siti Jarum (Ku Seman?) telah mencubit manja penulis skrip drama Melayu tempatan. Drama Melayu tempatan dikatakan lebih kuah dari isi, disolek cantik, ketandusan idea dan cerita yang baik. Drama korporatnya pula superfisial dan terlalu berkarat. Beliau menyelar penulis skrip sebagai orang yang tidak membaca karya sastera, mengulang dialog yang sama beratus kali, tidak berfikir, terperangkap dalam pemikiran yang beku dan stereotype. Karya mereka juga tidak menghubungkan jiwa mereka dengan jiwa penonton. Siti Jarum kemudiannya menyarankan penulis skrip membaca karya sastera bagi mendapat idea yang matang dan segar. Selain itu, turut mencadangkan agar penulis skrip membuat adaptasi karya-karya sastera terutama cerpen yang tersiar di akhbarnya. Namun, menasihati penulis skrip agar meminta izin pemilik karya sastera itu terlebih dahulu. "Jangan main rembat sahaja," katanya di akhir pojok. Saya sempat mendapatkan reaksi beberapa rakan penulis skrip. Ada yang menerima pandangan ini dengan positif. Dan menjadikan 'cubitan' ini sebagai satu cabaran. Memang pun selama ini kami bekerja dalam suasana yang 'tercabar' dan 'mencabar'.

Monday, December 15, 2008

ADAPATASI “APABILA ALAM BERBICARA” – PART 5

Apabila kertas cadangan (concept paper) AAB di bawa ke stesyen televisyen, berkemungkinan pihak stesyen meminta plot utama berkisar kepada kisah cinta Prof Jiwa Alam-Maryam Isabella. Dan perjuangan alam sekitar mereka dijadikan sub-plot. Berdasarkan pengalaman saya, ini memang selalu terjadi. Agensi AC Neilsen merekodkan jumlah penonton tinggi untuk cerita cinta lelaki perempuan dengan jalan cerita mudah, tidak rumit, tidak memberatkan minda. Ini hakikat. Stesyen akur kepada kehendak penonton demi menarik pendapatan melalui iklan. Dan penerbit harus akur pada stesyen. Kemungkinan ini juga akan menjejaskan kredibiliti AAB. Namun, ada banyak cara untuk menyelamatkan AAB dari menjadi mangsa stesyen. Antaranya dengan membawa cadangan adaptasi ini ke stesyen kerajaan, bukan ke stesyen swasta. Biasanya, stesyen kerajaan akan lebih bertanggungjawab menerapkan aspek pembangunan insani dalam sesebuah karya. Saya tidak menolak karya ini untuk diadaptasi. Cuma saya melihat ia pasti membabitkan kos yang tinggi untuk latar. Kemungkinan kosnya tidak mampu ditanggung oleh penerbit. Di Malaysia stesyen membayar maksima RM105,000 untuk telemovie 90 minit. Kedua, penulis skrip perlu lebih banyak bekerja menambah material bagi mencukupkan visual dan durasi. Akhir sekali, kemungkinan yang tidak enak (minta dijauhkan) bahawa eksekutif stesyen akan campurtangan bagi menjadikannya ada tarikan komersil. Jika ini berlaku (memang selalu berlaku!), kewibawaan AAB sebagai karya sastera yang baik pasti tercalar di kaca TV.

ADAPTASI “APABILA ALAM BERBICARA” – PART 4

Bagi adaptasi AAB, berkemungkinan plot perlu dirombak supaya menghasilkan lebih kejutan, tandatanya, twist and turn dan unpredictable. Berkemungkinan penulis skrip mengira minit-minit sebelum rehat iklan (commercial break) dan membuat akhiran babak tidak menentu atau tiada keputusan. Ini disebut cliffhanger. Tujuannya supaya penonton tidak lari ke siaran lain sewaktu iklan ditayangkan. Jadi, sekiranya mengambil kira cliffhanger, mungkin ia akan mengganggu seni bercerita AAB yang asal. Apa yang dikekalkan mungkin hanya buah fikirannya sahaja. Selain itu, dalam skrip TV, setiap saat dikira. Lima minit di kaca TV sudah dikira lama kalau plot masih tidak menunjukkan progres. Jika AAB diadaptasi tanpa sebarang penambahan material baharu, ia mungkin selesai dalam durasi yang kurang dari 90 minit. Dalam istilah produksi, ia adalah karya yang “under-run”.

ADAPTASI “APABILA ALAM BERBICARA” – PART 3

Dalam mengadaptasi novel Tangisan Bulan Madu, saya mengalami masalah kerana pengarangnya kurang memvisualkan. Sementara itu, al-Quran pula sangat kuat “visualisation”. Terutama apabila bercerita tentang kisah hidup nabi-nabi yang sabar dan baik dengan orang jahat yang sentiasa menentang, dengki, tamak, degil. Seterusnya, al-Quran memvisualkan tentang hukuman untuk watak-watak jahat. Tidak hairan lah kalau semua orang – kecil besar, tua muda, Islam, bukan Islam - seronok mendengar atau membaca cerita-cerita dari al-Quran. Teknik penceritaan seperti dalam al-Quran memang memudahkan penukaran ke pelbagai jenis medium tanpa mencacatkan jalan cerita asal. Ia juga tidak memerlukan sebarang penambahan material baharu. Di saat peminat karya sastera dan Siti Jarum kagum terhadap buah fikiran dan cara bercerita dalam AAB, pengkarya TV pula cuba membayangkan ‘visual’ untuk AAB. Malah ada beberapa rakan penulis skrip menghantar sms mengatakan adaptasi AAB mungkin sukar. Seni bercerita untuk cerpen berbeza dengan seni bercerita untuk TV kerana kedua-duanya adalah medium yang berbeza.

ADAPTASI “APABILA ALAM BERBICARA” – PART 2

AAB tidak ditulis secara “cinematically”. Ia sarat emosi dan pemikiran, tetapi kurang aksi. Hanya yang mungkin menyelamatkannya adalah dialog yang agak banyak. Di kaca TV, setiap emosi atau pemikiran watak-wataknya perlu digambarkan melalui dua cara - samada aksi atau dialog atau kedua-duanya sekali. Watak-watak boleh juga bermonolong (voice over). Bagaimanapun, RTM baru-baru ini, bertindak tegas ‘mengharamkan’ monolog atas alasan ia membosankan penonton. Jadi, pembukaan cerpen yang membabitkan Prof Alam Jiwa memberi 'hint' kepada khalayak tentang namanya mungkin perlu dibuat dengan cara lain yang lebih kreatif dan menarik, bukan secara monolog seperti dalam cerpen. Biasanya, novelis atau cerpenis cenderung untuk memberitahu (tell) tentang perasaan dan pemikiran watak-wataknya. Tetapi mereka jarang menunjukkan (show) tindak tanduk watak-watak yang boleh menggambarkan perasaan dan pemikiran itu. Sedangkan medium TV adalah medium yang “tunjukkan..tunjukkan...tunjukkan kepada mereka, bukan memberitahu”. Lantas penulis skrip wajib memasukkan aksi dan dialog yang dipinggirkan oleh pengarang dalam karya asal. Kerja ini memerlukan tafsiran. Kadang kala, tafsiran penulis skrip berbeza dengan tafsiran pengarang asal. Ini lah punca kenapa sesetengah adaptasi gagal memenuhi matlamat dari segi jiwa atau rohnya. Namun ada novel yang ditulis secara “cinematically” seperti Ayat-Ayat Cinta karya Habiburrahman El Shirazy dan kebanyakan novel Stephen King. Kenapa Hollywood suka Stephen King? Penulis skrip yang bertanggungjawab membuat adaptasi novelnya, David Schow berkata, “one of the reasons why King’s work ia adaptable is that it is written cinematically,...when you are reading a novel, you are making a little movie in your head. King manages that visualisation very well... it only seems natural that so many projects would go into film”. Hakikat ini diakui oleh King sendiri. Rupanya dia seorang kaki wayang sejak kecil dan akan menonton wayang setiap kali mahu memulakan projek novel.

“ADAPTASI APABILA ALAM BERBICARA” – PART 1

Semalam, 14 Disember, Siti Jarum dalam ruangan Cubit Manja Mingguan Malaysia menyarankan pengkarya drama tempatan mengadaptasi cerpen Apabila Alam Berbicara (AAB). Cerpen tulisan Rozais al-Anyamy itu disiarkan dalam akhbar sama pada hari sama. Ia atas dasar seni bercerita dan cara penyampaian buah fikiran Rozais agak berlainan. Sebagai pembaca dan peminat karya sastera, saya mengakuinya. Dan sebagai pengkarya drama, saya memandang positif saranan Siti Jarum. Pada dasarnya, semua novel atau cerpen berpotensi untuk adaptasi. Bagaimanapun, untuk televisyen Malaysia, sesetengahnya sukar kerana masalah kos. Mampukah penerbit menggunakan CGI untuk menukarkan imej kondominium usang itu kepada baharu, kemudian menumbangkannya agar ia jatuh menyembah bumi bersama-sama dengan Maryam Isabella di dalamnya? Tanpa CGI, pilihan yang ada mungkin melalui dialog antara Prof Jiwa Alam dan Maryam Qistina di restoren - mengimbas tragedi itu tanpa visual. Atau Prof Jiwa Alam duduk sendirian membaca diari dan monolog (voice over) Maryam Isabella, juga tanpa visual. Bagaimanapun, kedua-dua pilihan ini akan membuatkan AAB seperti drama tipikal Melayu. Lantas Siti Jarum tidak akan selera melihat terlalu banyak adegan berborak di restoren, membaca diari atau termenung mengenangkan kisah silam dalam bentuk imbas ke belakang (flashbacks). Krew produksi drama tempatan biasanya gagal memvisualkan flashbacks dengan baik seperti mana yang dilakukan oleh pengarah drama bersiri LOST yang memenangi Anugerah Emmy itu. Atas dasar itu lah penulis skrip tempatan sering mengelak menggunakan teknik flashbacks. Sedangkan AAB banyak sekali 'flashback'nya.

Saturday, November 8, 2008

ANUGERAH SKRIN 2008

Kemenangan 'Bicara Aur Dengan Tebing' (BADT) dalam kategori drama rantaian sekaligus mematikan dakwaan ramai bahawa penganjur ‘berat sebelah’. Ketelusan penganjur terus terserlah apabila ‘Kala Bulan Mengambang’ (KBM) diangkat sebagai filem terbaik. BADT disiarkan melalui RTM manakala KBM diterbitkan oleh Tayangan Unggul Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat Astro All Asia Network Plc. Malah pengarah KBM, Mamat Khalid turut dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik kategori filem. Dalam ucapannya selepas menerima trofi, Mamat Khalid mengakui sceptical (ragu-ragu) terhadap anugerah ini. Ya, ramai menyangka filem ‘Sepi’ arahan Khabir Bhatia termasuk Khabir Bathia sendiri mungkin menjadi pengarah terbaik. Ia atas dasar ‘Sepi’ adalah terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat kepada penganjur. Di tahun-tahun yang lepas, faktor ‘anak syarikat’ memang agak ketara dalam menentukan kemenangan. Apa pun, hadiah kemuncak iaitu kategori drama terbaik masih berpihak kepada telemovie yang disiarkan melalui slot cerekarama TV3, setiap Sabtu jam 10 malam. Sudah 10 tahun, telemovie slot berkenaan mendominasi acara kemuncak Anugerah Skrin. Semalam, ia sekali lagi jatuh kepada drama terbitan Pena Creative Sdn Bhd milik Puan Ziela Jalil. Ini adalah kemenangan syarikatnya untuk kali yang ke-empat di anugerah berprestij itu. Mungkinkah suatu hari nanti kita dapat melihat telemovie-telemovie dalam slot Citra (RTM) dan Layaria (Astro) pula mendominasi hadiah kemuncak ini? Selain itu, calon-calon untuk kategori lakon TV (Skrip), pengarah dan pelakon terbaik, kebiasaannya diangkat dari drama telemovie, bukan drama rantaian atau drama komedi. Ini juga sesuatu yang wajar direnungi oleh penggiat industri. Kepada karyawan drama, rajin-rajin lah berkarya melalui telemovie jika mahu mencipta kegemilangan di Anugerah Skrin. Bak kata salah seorang penyampai anugerah, pelakon terkenal dan sensasi, Nur Fazura, kalau tak silap begini maksudnya, "Jangan tak layan kalau orang panggil buat telemovie."

'BICARA AUR DENGAN TEBING' MENANG

Majlis semalam berpihak kepada 'Bicara Aur Dengan Tebing' (BADT). Sekalung tahniah buat penerbit, pelakon dan warga kerjanya. Drama terbitan Tenview (M) Sdn Bhd itu disiarkan di RTM1, slot Sutera, jam 11.05, bermula September tahun lalu, setiap Isnin hingga Jumaat. Ia tidak popular seperti 'Bella' atau 'Manjalara' kerana waktu tayangannya pada sebelah pagi. Tidak ramai yang dapat mengikutinya. Pun begitu, pada tahap pemilihan calon 'top 5', populariti atau 'rating' (catatan jumlah penonton) bukan lagi menjadi ukuran. Sudah saya jelaskan dalam entri sebelum ini, Anugerah Skrin memilih 'yang terbaik di kalangan yang popular'. Kelayakan untuk pencalonan awal atau 'top 13' memang berdasarkan populariti (rating) tetapi untuk calon 'top 5' adalah berdasarkan pendapat juri. BADT berjaya mengalahkan Bella (TV3), Manjalara (TV3), Takdir Yang Terindah (RTM) dan Ghost (8TV). Ternyata ramalan Harian Metro semalam hampir tepat, hanya tersasar satu calon sahaja. BADT kini memasuki musim kedua dengan pengambarannya bermula Oktober lepas. Musim pertama menampilkan Rita Rudaini, Jasmin Hamid, Aqasha, Arash Mohamad, Wan Hanafi Su dan banyak lagi. Ia mengisahkan kepincangan sebuah keluarga. Kepada yang terlepas BADT musim pertama, saksikan musim kedua yang tentu sekali akan bersiaran pada tahun depan.

Friday, November 7, 2008

ANUGERAH SKRIN - SATU RAMALAN

Pagi ini, Harian Metro meramalkan calon "top 5" untuk kategori drama rantaian terbaik - Bella (TV3), Manjalara (TV3), Bicara Aur dengan Tebing (RTM), Takdir Yang Terindah (RTM) dan Jangan Main Belakang (ASTRO). Biarpun sekadar ramalan, ini berkemungkinan benar kerana wartawan biasanya tahu bagaimana hendak korek rahsia. Apatah lagi kalau akhbar yang meramalkan itu adalah akhbar yang 'satu keluarga' dengan penganjurnya juga. Apa-apa pun, sama-sama lah kita nantikan keputusannya malam nanti.

Thursday, November 6, 2008

TBM...ANTARA PENONTON DAN JURI

TBM berjaya menarik kira-kira 1.3 juta penonton. Lalu adakah ia turut menarik perhatian juri malam esok? Di Malaysia, selera penonton dan selera juri, jauh berbeza. Lazimnya, cerita yang mendapat perhatian penonton gagal mendapat perhatian juri. Dalam mana-mana pertandingan, sering kali karya terbaik, adalah yang kurang penontonnya. Namun, di Anugerah Skrin, penganjur menetapkan kriteria pencalonan berdasarkan jumlah penonton. Ini bermakna hanya yang tinggi jumlah penonton layak tercalon. Pencalonan pula dihantar oleh stesyen, bukan oleh penerbit. Selepas proses itu, baru lah penganjur melantik juri bertauliah untuk memilih mana yang berkualiti pada pandangan mereka. Ini bermakna Anugerah Skrin memilih “yang terbaik di kalangan yang popular”. Ada rungutan daripada banyak pihak yang mengatakan Anugerah Skrin cenderung 'memenangkan' karya yang tersiar di TV3 (sekarang Media Prima Berhad) atau terbitan anak syarikatnya atau arahan pengarah kegemarannya. Ada juga rungutan bahawa syarikat produksi yang pernah menang sebelum ini, tidak mungkin menang lagi sekalipun karya mereka bagus. Alasannya untuk memberi peluang kepada syarikat lain pula. Benarkah dakwaan ini? Dan adakah format serta pendirian penganjur yang seperti ini wajar?

TBM & LELAKI

Mengimbas TBM1, saya tertarik dengan komen seorang penonton di bawah yang saya petik dalam forum Cari.com di internet : …."Habih dah drama TBM kat RTM2. Mula dulu memang slow sikit tapi episod-episod terakhir cukup menarik perhatian. Tapi ending dia tak same ngan buku, agak tergantung, mungkin krane penerbitnya buat persiapan untuk sambungan kot. Camnepun, ending drama tu tetap sedih . Hampir kita menitiskan air mata tapi kita lelaki, malu nak nangis. Tapi masa baca TBM1 dulu memang nangis pun..he..he.."
Sebenarnya, TBM direka khusus untuk khalayak perempuan berusia 30 tahun ke atas. Sasaran sewaktu menulis cerita ini adalah golongan agak berusia bergelar “kakak-kakak” dan “makcik-makcik”. Apa pun, ramai juga perempuan muda berusia bawah 30-an yang menonton, termasuk segelintir lelaki.

Memplot (plotting) TBM 2

Memandangkan ada yang bertanya tentang perkembangan terbaru TBM2, saya terpaksa lah mendedahkannya. Ikutkan hati, biar lah segalanya dilakukan dalam diam. Apa pun, elok juga memewar-warkannya supaya semua orang tahu. Moga ia menjadi satu doa agar TBM2 menjadi kenyataan. Selepas sesi brainstorming atau memetik idea, team penulis telah menulis idea kasar yang disebut sebagai ‘arc’ (lengkungan) atau ‘outline’ (rangka). Idea ini ditulis secara ringkas dalam bentuk jadual menggunakan perisian microsoft excel bagi memudahkan kami melihat ke arah mana cerita ini bergerak. Kini, kami memasuki peringkat ketiga iaitu menulis jalan cerita atau memplot (plotting) untuk setiap episod, bermula dari episod 1 hingga 30. Peringkat ini baru lah kami menggunakan perisian Microsoft Words. Apa pun, masih terlalu awal untuk menceritakan apa-apa berita gembira tentang TBM2.

Monday, October 20, 2008

RENJIS 2 DI ASTRO RIA MULAI 22 OKTOBER 2008

Selain TBM, saya turut menulis drama bersiri Renjis yang bersiaran di Astro Ria (104) pada 21 Mei hingga 13 Ogos lalu. Kini Renjis 2 pula menyusul. Episod pertama bakal menemui penonton mulai Rabu ini, 22 Oktober 2008, jam 6 petang dan 9 malam. Untuk maklumat lanjut, sila lawati blog : http://www.drama-renjis-astro.blogspot.com

Friday, October 17, 2008

BRAINSTORMING TBM 2

Petang semalam, telah berlangsung sesi brainstorming atau 'memetik idea' untuk siri TV TBM 2. Sesi itu diadakan pada jam 2.30 petang di pejabat Asia Media Content Sdn Bhd, Petaling Jaya. Ia dihadiri oleh JS Foo sebagai penerbit, Suriyati Sidek sebagai Penerbit Eksekutif, saya, Samsiah dan dua lagi rakan sebagai penulis skrip. Dalam perkembangan lain, TBM sekali lagi diundang ke majlis prebiu Anugerah Skrin 2008 anjuran TV3 di One World Hotel, Petaling Jaya pada 22 Oktober ini.

Thursday, October 16, 2008

CAHAYA DI HUJUNG NYAWA-NOVEL TERBAHARU

Biasanya semua entri saya sebelum ini berkisar tentang TBM. Memandangkan belum ada perkembangan terbaru TBM 2, saya melaporkan dulu perkembangan karya saya yang lain. Mulai Julai lalu, novel terbaharu saya, CAHAYA DI HUJUNG NYAWA sudah pun ada di pasaran. Ia diterbitkan oleh Creative Enterprise Sdn Bhd (CESB) dengan harga RM19.90. Sebelum ini, CESB menerbitkan tiga novel saya bertajuk KIRANYA KAU BERBOHONG (2002), KU RINDU KAU YANG HILANG (1999) dan INDAHNYA BUDI (1996). Baca ulasan dalam blog Cerita Si Kucing Ungu : http://siungubercerita.blogspot.com Untuk maklumat lanjut, layari laman web CESB : http://www.cesb.net.my/store/Cahaya-Di-Hujung-Nyawa-Maizura-Mohd.-Ederis.html

Thursday, September 18, 2008

SEKUEL TBM....???

Nampaknya ramai yang rindukan TBM. Sayang sekali, drama ini tidak boleh ditonton melalui Youtube. Tentang Youtube, saya tidak berani berjanji kerana buat masa ini memang sibuk dengan macam-macam tugasan. Perkembangan terbaru tentang TBM, pihak RTM sudah menyatakan hasrat untuk mendengar pembentangan sekuel TBM, berkemungkinan selepas Aidilfitri nanti. Sama-sama lah kita berdoa hasrat ini jadi kenyataan. Pengarangnya, Samsiah Mohd Nor bersama kawan-kawan kreatifnya sekarang sedang berusaha memikirkan plot-plot yang lebih menarik untuk TBM 2. Tadi, selepas Maghrib, Samsiah sempat menceritakan secara ringkas tentangnya. Apa-apa pun, keputusan akhir tetap di tangan RTM. Kita tunggu dan lihat saja nanti, ya! Akhir kata, selamat menunaikan ibadah puasa dan seterusnya berhari raya tidak lama lagi.

Friday, August 29, 2008

EPISOD TERAKHIR II

Ada beberapa kejutan dalam episod terakhir. Salah satu kejutannya ialah surat dari Bogatt yang dikirimkan kepada Razlan melalui e-mel ketika Bogatt sedang nazak. Waktu itu Razlan masih berada di luar negara. Bagaimanapun, bagi penonton yang mengikuti siri ini dari awal tanpa selang setiap minggu, ada 'hint' tentang perkara ini dalam tiga babak. Pertama, ketika ibu Razlan mengajaknya berjumpa isteri arwah Bogatt di rumah Puan Marina, Razlan dengan cemasnya masuk dalam bilik dan mencari-cari satu surat dalam laci. Kedua, Razlan berjumpa peguam untuk bertanya samada surat itu satu wasiat yang wajib dipenuhi atau tidak. Peguam menjawab ia bukan wasiat, tetapi hasrat. Ia tidak wajib dipenuhi. Razlan pun menarik nafas lega. Pada waktu ini, Razlan belum mengenali siapa isteri Bogatt. Padahal dia sudah melihat Amira beberapa kali di pantai, tetapi tidak mengetahui identiti Amira. Ketiga, selepas menerima kunjungan Amira bersama Dr Bada dan Aliya, Razlan tertanya-tanya samada Amira benar-benar bahagia atau tidak. Dia bercakap tentang ini dengan adiknya, Idayu. Waktu itu, dia memegang sepucuk surat di tangannya. Namun, penonton mungkin tidak mempunya idea, surat apakah yang dipegangnya. Atas permintaan Muna dan Faiza dalam entri sebelum ini, berikut adalah isi kandungan surat 'hasrat' Bogatt itu : "Razlan adikku, masa untuk aku meninggalkan dunia ini sudah semakin hampir. Lalu aku amanahkan isteriku, Amira, kepadamu. Kahwini lah Amira, Razlan. Hanya kau seorang saja yang aku percaya, dapat memberi kebahagiaan kepadanya. Jaga lah dia dengan sempurna. Jangan biar hatinya terguris, walau secarik. Jangan biar air matanya menitis, walau setitis. Jaga lah Amira sebagaimana engkau menjaga nyawamu sendiri. Jadikan dirinya sebahagian dari dirimu jua. Bersatu lah dalam hatinya. Bernafas lah dalam dirinya" - Abangmu, Bogatt.

Thursday, August 28, 2008

EPISOD TERAKHIR

Semalam, Rabu 27 Ogos, berakhir lah drama bersiri Tangisan Bulan Madu. Terkejut? Ya, penghujungnya memang memberikan kejutan yang berbeza berbanding novel. Penghujungnya memang sengaja digantung bagi memberi ruang kepada sekuel sekiranya ada kelak, InsyaAllah. Memang ramai yang tidak puas hati, tapi itu lah ceritanya kerana Tangisan Bulan Madu ini ibarat sebuah cereka yang tiada nokhtah. Bagaimanapun, saya tidak berani berjanji kerana semua keputusan bergantung kepada stesyen. Ada sekuel atau tidak, stesyen yang akan menentukannya. Sama-sama lah kita berdoa supaya ada sekuel untuk drama ini. Akhir kata, saya hargai semua sokongan, komen, cadangan, kritikan dari penonton di sepanjang drama ini berlangsung. Terima kasih daun keladi...

Thursday, August 7, 2008

PENCALONAN UNTUK ANUGERAH SKRIN 2008

Tirai Anugerah Skrin 2008 sudah dibuka. Dan Tangisan Bulan Madu (TBM) tersenarai sebagai calon kategori Drama Rantaian. Semalam, jam 3 petang saya hadir ke Sidang Akhbar anugerah berkenaan di New World Hotel, Petaling Jaya. Sayang sekali, tidak ramai pelakon dan krew TBM yang hadir. Mungkin masing-masing sibuk dengan pengambaran drama lain. Antara muka yang saya nampak hanya Suriyati Sidek (Penerbit Eksekutif), Jamal Khan (Pengarah), Arifah Damanhuri (Mak Bedah/Mak Amira) dan Zarin Min (Idayu). Kalau ada yang lain yang saya tidak perasan, harap maaf ya! Tetamu jemputan memang ramai, sehingga melebihi jumlah kerusi yang disediakan. Mujur juga makanannya cukup! Semasa pengacara majlis, Ally Iskandar memperkenalkan showreel untuk kategori drama rantaian, saya tidak ingat berapa banyak yang disebutkannya. Tetapi berdasarkan showreel itu, jumlah yang akan berentap nanti agak banyak juga. Semuanya hebat-bebat belaka. Jadi, saya katakan saingan untuk TBM memang sengit. Seingat saya, Ally ada menyebut tentang 22 hadiah untuk diraih oleh penerbit, pengarah, pelakon dan penulis skrip. Apa pun, kata Ally, anugerah ini untuk semua yang terlibat dalam pembikinan sesebuah filem atau drama, daripada penerbit sehingga kepada tukang pegang "boom". Apa-apa pun, lihat akhbar-akhbar utama hari ini untuk maklumat lebih tepat dan menyeluruh tentang majlis semalam. Bagaimanapun, saya difahamkan menjelang Anugerah Skrin, TV3 hanya akan menayangkan semula drama-drama yang pernah tersiar di TV3 sahaja (itu pun tidak semua). Jadi, kemungkinan tidak ada harapan untuk kita menonton semula TBM di TV3 walaupun drama ini bertanding di anugerah itu. Sidang akhbar semalam dimulakan dengan gimik oleh pemenang Anugerah Skrin 2007, Sofea Jane dan Vanida Imran. Sofea memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik TV melalui slot cerekarama, "Sebuah Ijtihad". Vanidah pula dalam kategori Pelakon Wanita Filem Terbaik melalui "The Red Kebaya". Tetamu khas terdiri daripada CEO Media Prima Berhad, Dato' Farid Ridzuan dan wakil-wakil dari stesyen televisyen lain seperti RTM, Astro, TV9, NTV7 dan 8TV.

Tuesday, July 15, 2008

SARIKATA BAHASA INGGERIS

Drama bersiri ini rupa-rupanya mendapat perhatian mereka yang tidak memahami Bahasa Melayu. Berikut adalah komen dari Tahir yang dikirim dalam entri bertajuk AMIRA : Can anyone help me please.... There is no english translation of the previous episode...I am not able to understand Malay language... I am watching this serial from the very first day... But I am not feeling good as I was not able to understand the previous episode... Anyone help plzzzzz.....(TAHIR, KASHMIR) Saya sudah pun menghubungi RTM. Pegawainya berkata bahawa sarikata untuk drama berbahasa Melayu buat masa ini memang dihentikan kerana ingin menjimatkan kos. Ia selaras dengan seruan pemerintah agar semua jabatan berjimat cermat dalam perbelanjaan masing-masing. Bagaimanapun, pihak RTM tidak keberatan untuk memasukkan sarikata semula sekiranya ada permintaan dari penonton. Untuk makluman, Tangisan Bulan Madu turut ditonton oleh pelajar Malaysia di United Kingdom melalui TV2 online streaming.

Monday, June 30, 2008

PERPINDAHAN MEDIUM II

Perhatikan "opening scene" dalam skrip final draft di bawah. Pembukaan ini tidak menyamai novel dan skrin TV. Ini bermakna pembukaan dalam novel adalah berlainan dengan pembukaan dalam skrip manakala pembukaan di kaca TV juga berlainan daripada skrip. Ini bermakna novel, skrip dan kaca TV masing-masing mempunyai babak pembukaan yang berlainan.
A. Pembukaan dalam novel :
Hujan malam tadi bersambung hingga ke pagi. Tapi turunnya tidak selebat semalam. Rintik-rintik menitik perlahan menyirami bumi ciptaan Tuhan. Airnya jatuh mengenai pohon-pohon kayu, dedaun, bunga-bungaan, atap-atap zink dan semua objek yang terdedah. Amira menongkat dagu di tepi jendela. Pandangannya terarah ke jalan raya di hadapan rumah. Sekali-sekala dia memandang pula ke langit kelam yang mungkin tidak menjanjikan cuaca terang. Panjang saja lehernya terjengul ke depan, apabila sesekali terdengar bunyi motosikal. Posmenkah? Soalnya sendiri. Datang lah posmen, datang lah, pintanya berkali-kai dan berhari-hari. Dia tidak pernah jemu menunggu. Mudah-mudahan posmen datang membawakan khabar gembira. Surat tawaran kerja atau sekurang-kurangnya surat panggilan temuduga. Begitu lah tabiatnya sejak empat bulan kebelakangan ini, sejak dia pulang ke kampung selepas tamat pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia.Sudah banyak borang permohonan kerja yang dihantar. Wangnya juga telah banyak terhambur membeli setem, sampul surat dan tambang pergi balik naik bas. Penat pula usahlah dikira. Ke pejabat buruh telah dia jejak, ke Jabatan Pendidikan Negeri telah dia pergi mendaftar kalau-kalau mereka berkehendakkan guru sementara. Pendek kata memang dia berusaha untuk mendapatkan kerja.
B. Pembukaan di dalam skrip :
TANGISAN BULAN MADU : EPISOD 1
1. EXT./KAWASAN PERKUBURAN/SIANG CASTING : EXTRA
Estabslished kawasan perkuburan. Hujan renyai-renyai. Kereta mewah berderet. Orang berpayung menuju ke pusara. Sekujur mayat ada dalam liang lahad. Dari dalam liang lahad, tunjukkan orang di atas campak tanah ke arah kamera.
VO Bogatt Jangan! Jangan!!!
CUT TO :
2.INT/BILIK BOGATT/AWAL PAGI CASTING : BOGATT
Bogatt terjaga, muka berpeluh. Babak tadi adalah mimpi. Pandang jam. Pukul 5.45 pagi. CUT TO :
3. INT./RUMAH AMIRA-BILIK/PAGI CASTING : AMIRA & MAK BEDAH
VO azan subuh. Camera close on rumah Amira, sederhana besar, tepi pantai.
INTERCUT
3A. Dalam bilik, Amira buka telekung.
VO MAK BEDAH Mira! Kejutkan adik-adik kamu bangun!!Dah pukul berapa ni...
Amira cepat-cepat lipat telekung.
CUT TO :
4. INT./RUMAH AMIRA-DAPUR/PAGI CASTING : AMIRA, MAK BEDAH, SANI (10 tahun), UMAIRAH (14 tahun).
Di dapur, Mak Bedah packing kuih-muih dalam bekas. Amira BERBAJU KURUNG. Sani BERBAJU SEKOLAH RENDAH dan Umairah BERBAJU SEKOLAH MENENGAH.
MAK BEDAH (SINIS) Sekolah tinggi-tinggi , sudahnya jadi jurujual.
AMIRA Alhamdullilah mak. Lebih baik daripada tak kerja langsung.
MAK BEDAH Itu kata kamu, kamu tak dengar orang-orang kampung mengata tentang kamu jadi jurujual. Malu, mak!
AMIRA Biar saja mak. Mira bersyukur dengan apa yang Allah beri. Lagipun mak...kerja ni sementara saja. Dapat kerja yang lebih baik, Mira berhentilah.
MAK BEDAH Anak Makcik Leha, keluar universiti, terus dapat kerja gaji ribu-ribu.
AMIRA Itu rezeki dia. Kebetulan jurusan yang dia ambik tu laku.
M
AK BEDAH (SINDIR/KERAS) Hem, ekonomi meleset, jurusan ekonomi kamu pun meleset sama!
AMIRA (CIUM TANGAN)Pergi dulu ya mak.
MAK BEDAH Nah, ini bagi pada bos kamu Mira.
CUT TO :
5. EXT./MONTAGE/PAGI CASTING : AMIRA
OPENING CREDIT TITLE & MONTAGE
5A. Bot penumpang hampiri jeti. Amira keluar dari bot, naik ke jeti. Muka RESAH, tengok jam.
5
B. Amira di RESTOREN, hantar KUIH.
5c. Amira berlari anak ke BUTIK MARINA.
CUT TO :

PERPINDAHAN MEDIUM I

Mungkin ramai yang tertanya-tanya kenapa ada perbezaan antara novel dengan drama TV. Jawapannya bukan mudah untuk diterangkan. Novel dan skrin TV adalah dua medium berbeza. Dalam memindahkannya, sudah tentu terdapat beberapa aspek yang perlu dirombak, ditukar, diubah, ditambah atau dikurangkan. Bagaimanapun, secara keseluruhannya, ia masih lagi setia dengan semangat asalnya seperti mana dalam novel.
Apa pun, daripada skrip (lakon layar) ke skrin TV juga menyaksikan beberapa perbezaan dan perubahan. Kenapa berbeza? Ini juga sesuatu yang rumit untuk diterangkan. Biasanya pengarah tidak mengikuti skrip seratus peratus. Alasannya pelbagai. Antaranya berpunca daripada budget, kesukaran pengambaran, masalah logistik, kekangan masa, cuaca dan sebagainya. Ini bermakna pengarah dan penerbit berhak untuk tidak mematuhi skrip berdasarkan alasan yang wajar dan munasabah. Dalam hal ini, pengarah dan penerbit tidak perlu meminta kebenaran daripada penulis skrip terlebih dahulu.
Malah, di dalam proses terakhir iaitu suntingan, editor juga berhak untuk tidak mematuhi skrip. Sekalipun pengarah sudah membikin adegan itu, tidak semestinya adegan itu digunapakai di peringkat ini. Kenapa? Biasanya ia berkaitan dengan durasi atau continuity (konti). Sekiranya setelah disunting dan dimasukkan lagu, durasinya melebihi durasi yang ditetapkan, editor berhak untuk memotong mana-mana adegan sekalipun adegan itu sangat menarik. Masalah lain, sekiranya ada mana-mana adegan sebelum ini yang terpaksa dipotong, jika ada kesinambungannya dalam adegan seterusnya, adegan yang seterusnya itu juga harus dipotong. Ini lah sedikit sebanyak tentang kerja pembikinan sesuatu produk televisyen.

Monday, June 16, 2008

Mencari Novel

Sejak Tangisan Bulan Madu (TBM) 'The Series' ditayangkan, ramai juga yang tercari-cari novelnya. Ada yang pernah membacanya dulu tetapi sudah lupa. Ada yang belum membacanya. Untuk makluman semua, sekuel Tangisan Bulan Madu diterbitkan oleh tiga penerbit berlainan : TBM 1 - Creative Enterprise Sdn Bhd. Sila kunjungi Kedai Creative Enterprise di No 38-1, Jalan Bangsar Utama 1, Bangsa Utama, KL. TBM 2 - Diwangsa Publications & Distributors. Penerbit ini sudah 'tutup kedai'. Jadi, novel kedua ini memang sukar dicari di kedai-kedai kerana sudah tidak dicetak lagi. TBM 3 & 4 - Khalysa Publications & Distributors. Syarikat ini dimiliki oleh pengarangnya, Samsiah Mohd Nor. Sila hubungi beliau melalui e-mel sam0965@yahoo.com TBM 5.....?

Adaptasi Novel ke Filem Tempatan Perlu Anjakan

(Sumber : Utusan Malaysia - 20 Mei 2008) SKRIP yang diadaptasi daripada novel atau karya sastera sudah dianggap lumrah bagi penghasilan cerita untuk filem di Holywood atau di Eropah. Adaptasi tidak lagi dianggap sebagai satu usaha untuk mempopularkan karya sastera kerana novel tersebut telah sedia popular. Malah sebaliknya filem yang dianggap mengambil kesempatan daripada populariti sesebuah novel. Sebaliknya mengadaptasi novel ke filem bukanlah usaha yang lumrah dalam industri filem negara ini. Malah berdasarkan penelitian saya, dalam sejarah pembikinan filem tempatan, daripada ratusan filem yang dihasilkan dalam tempuh 74 tahun dari tahun 1933 hingga 2007, hanya sembilan buah novel tempatan yang telah diadaptasi ke filem. Novel-novel yang telah diadaptasi ialah Chinta Gadis Rimba (1958) karya Harun Aminurashid arahan L. Krishnan, Rumah Itu Duniaku (1964) karya Hamzah Hussein arahan M. Amin, Bukan Salah Ibu Mengandung (1969, judul asalnya Memang Nasib Celaka Badan karya Harun Hassan) arahan Jins Shamsuddin. Novel lain ialah Kalau Berpaut di Dahan Rapuh (1971) karya Harun Hassan arahan Omar Rojik, Langit Petang (1982) karya A. Samad Said arahan Shahrom Mohd. Dom, Ranjau Sepanjang Jalan (1983) karya Shahnon Ahmad arahan Jamil Sulung, Mira Edora (1990) karya Khadijah Hashim arahan Zulkefli M. Osman, Black Widow Wajah Ayu (1994) karya Raja Azmi arahan Uwei Saari dan Jogho (1997) daripada novel Juara karya S. Othman Kelantan arahan Uwei Saari. Mengapa hanya sembilan buah novel diadaptasi ke filem? Apakah novel-novel kita begitu sukar untuk diadaptasi atau novel-novel kita tidak mempunyai nilai naratif yang cukup menarik untuk difilemkan? Novel popular tempatan yang laku puluhan ribu naskhah juga tidak menarik perhatian penerbit dan pengarah filem kita. Hal ini tentulah amat berbeza jika dibandingkan dengan industri filem barat yang lebih gemar mengadaptasi novel ke filem. Barangkali hal ini amat berkaitan dengan budaya buku dan pembacaan mereka. Statistik industri filem dan TV Amerika menunjukkan 45% cerita televisyen adalah yang diadaptasi daripada novel dan 85% filem yang menang oskar adalah berdasarkan cerita yang diadaptasi daripada novel. Baru-baru ini, dalam Sesi Perkongsian Ilmu yang diadakan di Sanggar Zaba, Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) telah dibincangkan, masalah dan mengapa usaha mengadaptasi novel ke filem tidak mendapat sambutan daripada penerbit dan pembikin filem. Sesi tersebut yang mempertemukan penerbit, pengarah filem, persatuan filem dan pihak DBP yang diwakili oleh Pengarah serta pegawai daripada Jabatan Sastera DBP telah membincangkan apakah usaha yang perlu dilakukan untuk menggalakkan pembikin filem mengadaptasi karya sastera. Pengarah filem, Uwei Saari, selaku pembentang utama dalam sesi ini yang berpengalaman mengadaptasi karya William Faulkner untuk filem Kaki Bakar, Juara untuk Jogho dan Almayer's Folly karya Joseph Conrad telah membentangkan strategi dan perlunya penggalakan usaha mengadaptasi novel ke filem. Baginya, tidak ada novel yang tidak boleh diadaptasi. Hasil perbincangan tersebut telah melihat dua sebab utama mengapa novel-novel tempatan tidak ‘difilemkan’. Pertama, ia berkait dengan masalah pasaran dan perspektif yang menganggap novel tempatan yang difilemkan tidak akan berjaya di pasaran atau memberikan keuntungan. Justeru mengadaptasi novel bukan pendekatan terbaik dalam industri filem tempatan dan oleh itu pembikin lebih gemar membuat skrip berdasarkan cerita popular remaja hari ini. Hal ini juga berkait dengan perspektif dan fahaman kononnya adaptasi hanya ‘merosakkan’ novel asal. Kedua, tidak adanya insentif untuk menggalakkan novel diadaptasi ke filem. Salah satu kesilapan anggapan yang lazim adalah melihat adaptasi sebagai usaha untuk mempopularkan karya sastera/novel. Hal ini jelas tidak benar kerana novel yang diadaptasi sudah sedia popular dan sebenarnya pembikin filem tertarik dengan novel untuk difilemkan dan mahukan cabaran mengadaptasinya. Boleh dikatakan semua novel-novel besar dan yang paling sukar telah difilemkan. Lebih sukar novel, ia lebih memberi cabaran kepada pembikin filem tersebut. Malah antara filem yang paling tinggi pulangan keuntungannya adalah filem-filem yang juga diadaptasi daripada novel. Contoh yang paling ketara jika kita melihat kejayaan filem-filem ini, antaranya Lord of the Rings, Harry Potter dan Gone With The Wind. Perbincangan dalam sesi ini berpendapat satu usaha pembangunan perfileman yang mengadaptasi karya sastera perlu diadakan segera. Melalui projek pembangunan ini kerajaan diminta menyediakan insentif berupa dana khas untuk menggalakkan usaha membuat adaptasi. Melalui skim khas dan insentif yang dicadangkan diadakan melalui DBP maka sejumlah novel-novel yang telah dikenal pasti boleh dipilih untuk difilemkan. Projek pembangunan ini tidak sahaja mengenal pasti novel-novel untuk filem sahaja tetapi juga untuk siaran televisyen dalam bentuk drama TV. Setakat ini DBP telah berusaha mempopularkan karya adaptasi melalui usaha penerbitan bersamanya dengan RTM dalam menghasilkan drama TV yang diadaptasi daripada novel terbitan DBP. Selama ini memang terdapat salah faham dan kekeliruan tentang konsep `kesetiaan’ pada karya asal dalam membuat adaptasi yang selama ini berlaku antara penulis novel dan pembikin filem. Malah isu kesetiaan ini telah menjadi debat akademi yang berlanjutan. Perlu diketahui sebuah novel diadaptasi melalui beberapa pendekatan. Ada novel yang cuba dipindahkan ke filem dengan cuba berlaku `setia’ dan kekal dengan bentuk plot dan naratifnya. Manakala pendekatan yang lain adalah `adaptasi kreatif’ yang mengadaptasi secara kreatif dengan mengekalkan semangat dan inti pati novel tetapi plot filemnya mengambil pendekatan berbeza. Kedua-dua pendekatan ini mempunyai cabaran tersendiri dan menarik. Bagaimanapun pemberian dana insentif dalam projek pembangunan filem adaptasi ini perlukan pengurusan yang cekap dan jujur untuk melihat pembangunan seni perfileman negara. Hanya dengan cara ini pembangunan seni perfileman dan kesusasteraan negara dapat berkembang baik dan saling mendapat faedah.

Tuesday, May 27, 2008

REAKSI AWAL PENONTON

Dua episod sudah tertayang minggu lalu. Ia menerima bermacam-macam reaksi. Ada yang positif. Ada yang negatif. Sebagai pengkarya, kami menerima semua pujian dengan Alhamdulillah dan kritikan dengan Alhamdulillah juga. Kebanyakan penonton yang memberi pandangan dalam forum-forum di internet terdiri daripada peminat setia novel. Mereka menonton kerana pengaruh novel. Agak mengejutkan apabila sebahagian mereka masih mengingati watak, plot dan latar dengan terperinci walaupun sudah 17 tahun berlalu. Sebahagian yang lain ‘ingat-ingat lupa’ tetapi jiwa atau semangat novel itu masih memberi kesan di hati sampai sekarang. Ada yang masih menyimpan novelnya walaupun sudah ‘lunyai’ kerana berulang kali membacanya atau memberi pinjam pada kawan. Ada yang sudah kehilangan dan terfikir untuk mendapatkannya semula. Di kalangan mereka, ada yang berasakan karya di TV kurang meruntun emosi berbanding novel. Ada juga yang mengatakan ia ‘not bad’. Selain itu, ada yang positif bahawa siri akan lebih menarik dalam episod-episod yang akan datang. Dari segi pendukung watak, ramai yang menganggap pemilihan Rita Rudaini sebagai Amira sangat tepat. Mutu lakonan Rita sebagai Amira juga baik, kata mereka. Sementara itu, Ezany Nizariff mendapat reaksi agak kurang berbanding Rita. Bagi saya ini perkara biasa buat watak yang digambarkan sebagai sangat sempurna seperti Bogatt itu. Bagi gadis-gadis di luar sana, siapa pun yang melakonkan watak Bogatt, pasti mengundang rasa tidak puas hati. Tidak ada seorang pelakon pun yang berjaya menepati keseluruhan gambaran Bogatt di dalam novel. Bogatt sangat ‘over-the-top’. Namun, berbanding Aron Aziz, Fahrin dan Ady Putra, Ezany lebih layak atas dasar air muka dan raut wajahnya. Latar cerita di kampung dan pekan kecil memang sesuai untuk Ezany. Apatah lagi, siri ini adalah tentang kehidupan orang Melayu tipikal di luar bandar. Aron Aziz, Fahrin dan Ady Putra terlalu ‘urban’ untuk watak Bogatt. Jadi, peminat setia novel harus belajar untuk menerima Ezany sebagai Bogatt. Terus lah setia menontonnya sehingga akhir untuk menilai sejauh mana kemampuan dan karisma Ezany dalam membawakan watak Bogatt yang disayangi ramai. Suka diingatkan bahawa Ezany turut membawakan watak adik kandung Bogatt, Razlan. Di kalangan penonton yang tidak membaca novel, rata-rata memberi komen yang positif. Mereka menyukainya dan mula tercari-cari novel ini di pasaran. Di kalangan pengkritik pula, setakat ini, penulis sastera Nisah Haron memberi reaksi tidak senang atas persembahannya yang ‘tipical Malay drama’. Saya awal-awal lagi memang menjangkakan reaksi seperti ini di kalangan pengkritik. Atas dasar itu lah, dalam entri sebelum ini, lama sebelum ia ditayangkan, sudah diterangkan tentang sasaran penonton siri ini. Baca dalam : http://annyss.blogspot.com/2008/05/drama-melayu-mencari-kematangan.html#links

Tuesday, May 20, 2008

TANGISAN BULAN MADU 'THE SERIES' MALAM INI

Akhirnya Tangisan Bulan Madu 'The Series' muncul di kaca TV malam ini. Berakhir lah penantian saya, Samsiah dan para peminat semua. Bagaimanapun, suka diingatkan bahawa enam episod yang pertama diadaptasi daripada Tangisan Bulan Madu (TBM) 1. Ada banyak masalah semasa kami melakukan adaptasi TBM 1. Ia berkaitan dengan hak penerbitan. Hak itu sebenarnya masih dipegang oleh penerbit asal. Pengarangnya hanya memegang hakcipta semata-mata. Jadi, sebarang perpindahan medium perlu melalui penerbit TBM 1. Bagi TBM 2,3, dan 4 tidak menjadi masalah kerana hakcipta dan hak penerbitan adalah milik pengarangnya. Namun, siri televisyen ini pasti cacat sekiranya kami mengabaikan TBM1 dari proses adaptasi. Mengenangkan ini, kami gagahi jua berdepan dengan cabaran untuk mendapatkan hak ke atas TBM1. Berdasarkan rundingan akhir, penerbit hanya memberi kebenaran untuk menggunakan tajuk asal dan beberapa petikan daripada TBM1. Atas dasar itu lah kami terpaksa melakukan begitu banyak penyesuaian, rombakan dan perubahan ke atas TBM1. Ini untuk mengelak berlakunya 'pelanggaran hak'. Realiti di Malaysia, kebanyakan penerbit memegang hak penerbitan dan berkuasa penuh ke atas sebarang perpindahan medium (atau sekiranya ingin bertukar penerbit). Sementara pengarang hanya mendapat hak cipta dan sedikit royalti. Apa pun, kita bersyukur kerana masih mampu berkarya di saat terpaksa berdepan dengan pelbagai bentuk halangan, kekangan, tekanan, ketidakadilan, ketidakjujuran dan sebagainya. Alhamdulillah...

Tuesday, April 1, 2008

MAAF, TBM DI KACA TV MULAI 20 MEI, BUKAN 3 APRIL.

Salam seribu kemaafan buat semua, Pagi tadi, saya sempat layari internet dan mendapati ada sekelumpuk peminat fanatik novel Tangisan Bulan Madu (TBM) teruja membaca entri saya sebelum ini. Maaf, itu satu kesilapan teknikal. Petang tadi saya mendapat panggilan dari penerbit mengatakan RTM menukar siarannya ke 20 Mei 2008. Tidak pasti kenapa RTM asyik menukar slot dan tarikh. Drama ini akan disiarkan seminggu dua kali iaitu pada Selasa dan Rabu melalui slot Ratu. Sekarang, slot itu sedang menayangkan drama bersiri Indonesia bertajuk "Kau Bukan Untukku". Agaknya drama itu diadaptasi daripada lagu popular Rossa bertajuk yang sama dan dijadikan lagu tema drama berkenaan. Apa pun, harap peminat TBM bersabar ya. Kerja saya jadi berganda sekarang. Perlu memaklumkan semula kepada semua orang terutama kepada rakan-rakan media yang sudah sedia hendak menyiarkan berita ini pada Khamis nanti. Harap maaf sekali lagi.

Saturday, March 29, 2008

TBM DI TV2 MULAI 3 APRIL SETIAP KHAMIS

Alhamdulillah, akhirnya Tangisan Bulan Madu (TBM) 'The Series' disiarkan sebelah malam setiap minggu. Ia bermula pada Khamis ini 3 April, jam 9.00 malam di TV2. Berdasarkan perancangan awal oleh pegawai RTM pada Mei 2007, drama ini untuk slot Galeri Famili jam 1.30 tengahari, Isnin-Jumaat. Waktu itu kami agak kecewa kerana mendapat slot siang yang tidak ramai penonton. Pun begitu, takdir mengubah segalanya. Kekecewaan kami terubat dengan keputusan ini.
Bagaimanapun, saya sedikit kesal kerana mempersembahkan cerita ini agar sesuai dengan sasaran penonton tengahari yakni surirumah. RTM juga mahukan konsep telenovela yang ditayangkan sepanjang hari bekerja. Ini bermakna saya perlu mengolah semula cerita ini berdasarkan beberapa 'rukun' dan 'syarat sah' telenovela. Antaranya watak jahat mesti tersangat jahat manakala watak baik mesti tersangat baik. Plot "twist and turn" dan tergantung (cliff-hanging) sangat penting dalam sesebuah telenovela. Memandangkan cadangan asal untuk tayangan Isnin-Jumaat, perlu ada 'minor cliff-hanging' untuk Isnin hingga Khamis dan 'major cliff-hanging' untuk Jumaat. Tujuannya supaya pada hari Jumaat, penonton jadi tidak sabar menunggu hari Isnin untuk mengetahuinya.
Masalahnya, novel TBM TIDAK ADA watak jahat. Watak-wataknya lebih banyak berkonflik dengan diri sendiri berbanding dengan orang lain. Ini bermakna watak utama adalah protagonis dan juga antagonis. Amira VS Amira? Novel ini juga kekurangan "twist and turn" untuk membolehkannya diadaptasi menjadi sebuah telenovela yang baik.
Mujur pengarangnya, Samsiah cukup sporting dan mudah dibawa berunding. Beliau banyak bertolak ansur bagi menyesuaikan dengan kehendak stesyen. Sekalipun tidak pernah terlibat dalam mana-mana produksi TV, Samsiah mengakui dia memahami. Atas restu Samsiah sendiri, kami menjahatkan beberapa watak kecil dalam novel ini. Syafura, Cindy, Makcik Hindun dan Hakim terpaksa memainkan peranan besar di kaca TV. Kehadiran mereka dalam novel hanya tempelen sedangkan di TV mereka cukup dominan. Apa reaksi pembaca bila melihat watak kecil diubah menjadi besar? Adakah mereka akan merestuinya?
Penerbit pula mahukan cerita ini dibiarkan tergantung pada babak terakhir. Ini sebagai persediaan kalau-kalau jumlah penonton (rating) tinggi dan stesyen meminta "TBM Musim Kedua." Jadi, jangan terkejut kalau penyudahnya agak menyimpang dari penyudah dalam karya asal. Ia memang disengajakan.
Sekiranya sejak awal lagi saya tahu bahawa drama ini untuk slot malam dan bukan berkonsepkan telenovela Isnin-Jumaat di siang hari, saya mungkin mempersembahkannya dengan cara berbeza. Memandangkan kebanyakan penonton slot malam lebih matang dan berpendidikan, berkemungkinan saya akan lebih memfokuskan kepada konflik diri watak utama. Saya akui aspek ini kurang diberi perhatian kerana memikirkan "crowd" tengahari yang lebih suka melihat konflik antara watak hitam dengan watak putih.
Apa pun, keputusan RTM untuk menukarkan tayangan pada waktu malam melegakan kami yang mengharapkan 'rating' tinggi. Pada malam Jumaat nanti, jam 9, TBM akan bersaing dengan drama seram SAKA di TV3 dan DIARI AF6 di Astro Ria. Kedua-dua rangkaian swasta berbahasa Melayu itu cukup berpengaruh ke atas penonton Melayu. Sama-sama lah kita tunggu dan lihat sejauh mana TBM dapat menyaingi kedua-dua rancangan itu dari segi jumlah penonton.

RUANG SEMPIT INI - MEOR

Razlan memang tidak sepopular abangnya, Bogatt. Namun, kehadiran Razlan dalam Tangisan Bulan Madu (TBM) amat penting untuk meneruskan legasi Bogatt. Razlan adalah penyair sepenuh masa, aktivis anti-peperangan dan pencipta lagu. Mulai episod 15, lagu yang diciptanya akan diperdengarkan kepada penonton. Setelah mendengar beberapa lagu puisi popular, team produksi kemudiannya beralih arah. Tanpa disangka, kami memilih lagu yang bukan dari aliran arus perdana. Ini lah lagunya...“Ruang Sempit Ini”. Muzik genre popfolk ini kedengarannya agak “memberontak”. Ia sesuai dengan jiwa Razlan yang rumit, melankolik dan sukar difahami. Apa sahaja yang dirasa agak ekstrim tetapi sukar diluahkan dengan cara yang tepat. Ekspresi dan emosi itu mungkin lebih jelas melalui karyanya. Ini dunia fiksyen yang kami ciptakan untuk Razlan. Dalam dunia sebenar, “Ruang Sempit Ini” adalah milik Meor. Nama sebenarnya Meor Yusuf Azidin, 40, seorang penyanyi dan pencipta lagu. Pemuzik jalanan ini merupakan antara penggiat utama dalam muzik genre popfolk. Setakat ini, anak Perak itu sudah melahirkan enam buah album di bawah produksi “indie”. Antara yang terkenal bertajuk Aku dan Bulan (2004) dan Yang Terlintas Di Fikiran (2007). Terbaru, adalah Sakrat yang akan dilancarkan di Pasar Seni Kuala Lumpur, malam esok jam 8.30 malam. Daripada 10 lagu dalam album berkenaan, tiga adalah berdasarkan sajak ciptaan penyair terkenal tanahair, Amirul Fakir. Meor berkarya dengan gitar akuistik. Baik dari segi muzik dan lirik, karyanya mampu mencabar minda pendengar dan berbentuk muhasabah diri. Sakrat misalnya adalah singkatan daripada perkataan “Sakratul Maut”. Ia membicarakan soal kehidupan dan kematian. Juga melihatnya dari sisi kerohanian. Mungkin tidak ramai yang sedar bahawa Meor adalah adik kepada penyanyi bersuara hebat, Suhaimi Meor Hassan. Malah Meor turut menerbitkan album terbaru abangnya itu pada tahun lalu. Selain kerjaya muzik, Meor juga bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan di Ipoh, Perak. Peminat muzik genre ini boleh memperolehi karyanya dengan cara e-mel terus kepadanya di alamat meor67@yahoo.com Bacaan lanjut tentang Meor dalam : http://kamalsabran.com http://kamalsabran.blogspot.com

Monday, January 14, 2008

EZANY BERENDAM AIR MATA KERANA BOGATT

"..... ia dekat dalam diri saya kerana sama dengan watak Irfan yang saya lakonkan dalam drama bersiri Natasha 1 dan 2 dulu. "Tetapi karektor Bogatt lebih berat berbanding watak Irfan yang tak bermain dengan emosi," ujar pelakon yang turut berlakon drama Aku Untukmu, filem Gerak Khas The Movie 3 dan Cinta Yang Satu. "Kandungan skrip yang mempunyai soul banyak membantu saya menghayati watak disamping chemistry yang wujud antara saya dengan Rita. Berikut adalah petikan daripada wawancara ekslusif Ezany Nizarif dengan akhbar online Mstar. Baca selanjutnya di ruangan Gong - M*Aduh, artikel bertarikh 8 Januari 2008 http://www.mstar.com.my

Saturday, January 5, 2008

PROGRAM ADAPTASI NOVEL KE LAYAR PERAK

Artikel ini dipetik daripada Utusan Malaysia. KHABARNYA tahun hadapan industri filem kita akan didominasi filem-filem yang bertemakan horror atau cerita seram. Tidak dinafikan kembalinya genre seram ke dalam industri filem tempatan adalah disebabkan limpahan populariti beberapa buah filem seram Asia seperti dari Thailand, Korea Selatan dan Jepun yang menampilkan identiti dan kelainan daripada filem-filem genre seram Barat yang telah begitu mempengaruhi penerbit filem tempatan. Bagaimanapun, di sebalik keghairahan pembikin filem kita dengan filem-filem dalam genre seram ini, saya tidak pula nampak mereka mempunyai keghairahan terhadap novel-novel atau cerita pendek (cerpen) tempatan untuk diadaptasi ke filem. Jika industri filem kita mengikut arus filem-filem dunia tentulah industri filem kita juga akan menjadikan novel atau cerpen kita sebagai dasar cerita filem mereka. Dalam industri filem dan TV Amerika, kira-kira 45 peratus cerita televisyen adalah adaptasi daripada novel. Sebanyak 85 peratus filem yang menang Oscar adalah daripada karya adaptasi. Pada Anugerah Academy 2006, filem Brokeback Mountain arahan Ang Lee menang besar. Filem itu diadaptasi daripada cerita pendek karya Anne Proulx yang pernah tersiar dalam majalah New Yorker pada 13 Oktober 1997. Cerpen yang diadaptasi oleh Larry McMurtry dan Diana Assana itu telah memenangi hadiah lakon layar terbaik. Pada dasarnya Brokeback Mountain bukanlah sebuah kisah yang mudah untuk diadaptasi. Pertama, kisah hubungan dua lelaki koboi yang kehidupan mereka terpisah jauh di sebuah landskap pergunungan yang luas di Wyoming secara moralnya akan dipersoalkan. Kedua, cerpen Anne Proulx ini mengisahkan jangka masa 20 tahun dan ditulis secara padat dan ketat yang memerlukan kelonggaran dan ruang udara untuk dipindahkan ke medium yang lain. Sebagai pengadaptasi yang cuba mengikut jalur cerita Brokeback Mountain yang lirikal dan sederhana, Larry dan Diana perlu memperkembangkan dan memperjelaskan huraian plot, menambah kandungan dan tekstur di mana perlu. Akhirnya filem Brokeback Mountain berdiri sendiri sebagai satu karya di samping karyanya yang asal. Untunglah Larry dan Diana mendapat kepercayaan dan sokongan daripada penulis cerita itu sendiri, Anne Proulx. Persefahaman dan kepercayaan tersebut memudahkan tugas mereka. Hal yang sama juga berlaku apabila novel The English Patient karya Michael Ondaatje diadaptasi ke filem oleh Anthony Minghella. Ondaatje memahami perbezaan medium akan membawa perbezaan dan perubahan dalam adaptasi. Dia menyedari bahawa usaha adaptasi bukanlah bererti menghasilkan ‘gema’ yang setia dengan bunyi yang asal. Ondaatje juga tahu bahawa plot, liuk dan bentuk cerita yang terdapat pada novel tersebut tidak akan selamat daripada ‘dicemarkan’ kerana akan terdapat terjemahan bentuk dan penekanan yang berbeza. Hasil daripada pemahaman dan kerjasama ini, The English Patient bukan sahaja memperlihatkan sebuah karya adaptasi yang mampu berdiri sendiri, menarik dan hebat tetapi juga mendapat anugerah Filem Terbaik. Rasanya sejarah filem sudah jelas memperlihatkan bagaimana novel-novel klasik, mahakarya dan popular berjaya dipindahkan ke filem dan mendapat sambutan yang cukup hebat. Kita telah melihat daripada Gone With the Wind hinggalah The Lords of the Ring, daripada novel yang dianggap membosankan hingga ke novel yang popular, filem yang diadaptasi daripadanya boleh sahaja dinikmati dan mendapat sambutan yang hebat daripada penonton. Naratif Sejak novel pertama Hikayat Faridah Hanum (1925) hingga kini jumlah novel kita cukup besar dengan naratif yang bukan sahaja menarik tetapi memancarkan budaya dan nilai kehidupan masyarakat kita yang tentu sahaja bersifat universal dan sesuai untuk masyarakat antarabangsa. Bukan sahaja novel-novel tetapi juga sejumlah besar cerita pendek kita dibiarkan kaku terletak di atas rak buku. Karya-karya ini perlu dijelmakan dan harus hidup serta berkembang dalam bentuk yang lain. Filem dan drama televisyen (teledrama) kita seharusnya menggerakkan potensi ini. Menyedari hakikat ini RTM (Radio Televisyen Malaysia) dan DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka) mengambil inisiatif dan usaha mengadaptasi novel dan cerpen ke drama televisyen. Untuk tahun 2006, sebanyak enam teledrama yang diadaptasi daripada novel dan cerpen telah diterbitkan, iaitu Mufarakah (Rahman Shaari), Hujan Sudah Teduh (Zaharah Nawawi), Senjakala (Baharuddin Kahar), Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur (Keris Mas), Jaringan (Rosmini Saari) dan cerpen Cahaya Pada Jiwa (Faisal Tehrani). Teledrama Mufarakah, Cahaya Pada Jiwa dan Hujan Sudah Teduh sudahpun disiarkan oleh RTM1 pada setiap Sabtu minggu pertama setiap bulan bermula pada bulan Julai lalu. Yang akan ditayangkan dalam waktu terdekat ini adalah Senjakala yang diadaptasi oleh Zakaria Ariffin dan diarahkan oleh Kamaruddin Ambak dengan pelakon utamanya Wan Hanafi Su sebagai pemburu Kinto dan Eira Syazira. Enam buah teledrama ini adalah permulaan kembali pada tradisi era keemasan filem Melayu dahulu yang banyak mengambil kisah-kisah klasik daripada cerita rakyat dan hikayat untuk diadaptasi ke filem. Nilai ceritanya dan sambutan yang hebat telah membantu menaikkan industri filem Melayu ketika itu. Tetapi hari ini industri filem dan televisyen kita berhadapan dengan naratif yang membosankan dan cerita yang lemah. Mengapa tidak kita menoleh kembali kepada sejumlah novel moden kita atau melihat kembali karya-karya klasik seperti Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Awang Sulung Merah Muda atau sejumlah cerita dalam Sejarah Melayu. Dengan adanya teknologi efek khas digital, segala magik dan elemen spektakular dalam mitos tersebut akan dapat dijelmakan di atas layar. Bukankah itu yang dilakukan oleh Peter Jackson dalam The Lords of the Ring dan George Lucas dalam Star Wars? Oleh itu usaha RTM dan DBP yang membawa teledrama adaptasi daripada novel-novel tempatan seharusnya disambut baik oleh industri filem kita. FINAS dan DBP seharusnya sudah lama bekerjasama mengangkat novel-novel kita yang terbaik ke filem. Jangan biarkan karya sastera kita terbiar dan hayatnya berakhir di atas rak buku. Apatah lagi dalam sambutan 50 tahun kemerdekaan negara kita tahun hadapan kita perlukan filem yang bukan sahaja mempunyai nilai patriotik tetapi nilai daripada tradisi kesusasteraan kita yang memancarkan pemikiran dan nilai budaya masyarakat kita. Memang kerjanya sukar, kosnya besar tetapi itulah cara terbaik untuk mengangkat martabat filem kita selaras dengan perkembangan negara ini.

DARI NOVEL KE SKRIN TV

Bukan mudah rupanya hendak mengangkat sebuah novel ke kaca TV. Medium yang berbeza tidak memungkinkan saya memindahkan setiap satu yang tertera di halaman novel terus ke skrip. Novel bergantung kepada kekuatan bahasa. Sekiranya pengarang bijak menerangkan sesuatu dengan perkataan yang tepat dan indah, novel itu pasti berjaya. Sedangkan TV bergantung kepada kekuatan gambar dan bunyi.
Dalam novel Tangisan Bulan Madu, terdapat terlalu banyak penerangan tentang perasaan watak-wataknya. Sayang sekali, watak-wataknya kurang beraksi dan agak kurang menuturkan dialog. Kebijaksanaan pengarangnya bermain dengan bahasa yang indah dan tepat, menyebabkan novel ini mendapat sambutan luar biasa. Pengarang berjaya meruntun emosi pembaca dengan bait-bait kata yang dititipkannya di halaman kertas. Namun, di layar putih, kekuatan ini tidak lagi terpakai. Apa yang penting untuk sesebuah layar adalah visual….visual…visual… Penonton melihat watak-wataknya beraksi dan berbicara. Penonton juga mendengar bunyi, lagu dan muzik latar. Mereka turut melihat pemandangan dan sudut-sudut menarik dalam sesuatu babak. 'Prop' atau objek-objek turut memainkan peranan. Tangisan Bulan Madu versi televisyen kerap menyampai maksud melalui objek. Sekiranya dalam novel, hanya terdapat satu ayat yang menceritakan tentang bunga kemboja. Namun, di skrin TV, bunga kemboja itu dibesarkan sehingga akhirnya (tanpa dirancang) menjadi salah satu daripada 'isu' untuk dimainkan.
Justeru, cabaran utama dalam karya ini adalah untuk memvisualkan perasaan watak-wataknya. Masalah ini turut berlaku kepada novel-novel lain yang diadaptasikan ke layar kecil atau layar besar. Novel yang banyak menceritakan tentang pemikiran dan perasaan watak (tetapi kurang aksi dan kurang dialog), sekiranya dipindahkan ke medium elektronik tanpa mengubahnya walaupun sedikit, pasti menghasilkan monolog-monolog yang membosankan. Pegawai RTM awal-awal lagi mengingatkan saya supaya jangan mengulangi kesilapan pengadaptasi-pengadaptasi sebelum ini. (Tanpa menyebut apakah judul karya berkenaan)
Di dalam novel Tangisan Bulan Madu, terdapat banyak sekali keadaan di mana watak utama, Amira, termenung di tepi pantai, di dalam rumah dan di pusara. Secara mudah, saya boleh sahaja membiarkan Amira termenung dan kemudian memperdengarkan suara hatinya (PELAKON MELAKUKAN VOICE OVER) yang menyebut, “itu” dan "ini". Namun, dengan berbuat begitu untuk 30 episod, pasti mendorong penonton mencapai alat kawalan jauh dan menukar saluran. (Di Amerika Syarikat, mereka menggelar tindakan ini sebagai SHIT CLICK! Maaf agak kasar tetapi itu lah cara mereka bercakap)
Novel Tangisan Bulan Madu adalah novel yang kaya dengan perasaan dan emosi. Justeru, bagaimanakah perasaan-perasaan dan emosi-emosi itu digambarkan secara visual? Saya enggan menceritakannya di ruangan ini. Saksikan sendiri drama 30 episod ini dari awal hingga akhir.

Wednesday, January 2, 2008

TENTANG PENGARANG

Sejak muncul dengan novel Sindora pada 1990, Samsiah tidak pernah lagi menoleh ke belakang. Bebunga Lalang, Kemboja Berguguran dan Tangisan Bulan Madu menyusul pada tahun berikutnya. Ledakan Tangisan Bulan Madu kemudiannya membuka lebih banyak ruang untuknya terus melangkah ke hadapan.
Perjuangan wanita kelahiran negeri Pahang ini berterusan dengan belasan novel yang kebanyakannya mendapat sambutan pembaca. Antaranya seperti Anom Suraya, Selimut Malam, Anggerik Kota, Sangkar, Maya Pusara, Sebening Langit Senja, Cinta Jati Klasik dan Sejernih Lazuardi. Karya terbaru, Bulan Berbisik terbitan Alaf 21 Sdn Bhd pada akhir tahun lalu, kini berada di tempat kedua dalam senarai novel terlaris.
Biarpun lebih dikenali dalam genre sastera pop, Samsiah turut mendapat tempat dalam genre sastera serius. Beliau berjaya memenangi anugerah sastera tempatan yang berprestij iaitu Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) melalui cerpen bertajuk ‘Kembali Ke Perut’ dan ‘Jangan Menangis Perempuan’. Selain itu pernah mendapat Anugerah Karyawan Sastera oleh Dewan Persuratan Melayu Pahang pada 2004. Pada tahun 2003, Samsiah diberi penghargaan untuk menyumbangkan puisi khas untuk Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dalam antologi “Peterana Kasih” anjuran Lembaga Muzium Negeri Pahang. Sehingga hari ini, puisi dan cerpennya tersiar dalam majalah Dewan Sastera, satu-satunya majalah yang menjadi rujukan utama dunia sastera tempatan. Beliau turut membentangkan kertas kerja di seminar, bengkel termasuk menjadi juri pertandingan penulisan.
Samsiah kini melangkah setapak lagi dengan menyambung pelajaran ke peringkat doktor falsafah dalam bidang sastera. Sesuai dengan pengalamannya dalam genre novel pop, kajiannya tertumpu kepada aspek dakwah dalam novel popular tempatan. Kajian doktor persuratan itu ditaja oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.