Banyak juga filem adaptasi dari novel terbitan Indonesia yang menarik minat rakyat negara ini. Dan kebanyakannya mengangkat subjek yang bernilai seperti agama [
Ayat-Ayat Cinta dan
Ketika Cinta Bertasbih]; kemiskinan [
Laskar Pelangi] dan psikologi manusia [
Pintu Terlarang].
Novel-novel ini mempunyai nilai sastera dan membawa pembaca ke arah pembangunan jiwa serta inspirasi.
Agak terkilan kerana terlepas mengikuti diskusi “Laskar Pelangi” arahan
Riri Riza di Finas, dua tahun lepas. Namun semalam, berpeluang mengikuti diskusi “Pintu Terlarang” arahan
Joko Anwar, juga di Finas.
Bagi menyesuaikan dengan medium filem, Joko membuat adaptasi longgar dengan mengambil hanya sepuluh peratus daripada bahan asal di dalam novel. Ini dibuat dengan kebenaran novelisnya, Sekar Ayu Asmara. Malah novelisnya enggan melihat skrip filem itu [di atas kertas], sebaliknya membuat keputusan untuk terus menonton tayangannya di layar perak.
Beberapa penyesuaian juga dibuat ke atas watak utama dalam novel ini, sehingga menjadikan nama watak sahaja yang serupa, sedangkan perwatakannya di filem adalah berbeza berbanding novel. Beberapa bahan baharu turut ditambah seperti kewujudan organisasi rahsia dan ‘penyembelihan’ ngeri pada malam sambutan Krismas.
Menurut Joko, novel itu menarik. Tetapi ditulis tanpa STRUKTUR lakon layar. Justeru, rombakan dan penambahan perlu dibuat bagi memudahkan penonton mengikutinya untuk jangkamasa tayangan selama 90 minit.
Dalam proses adaptasi itu, sebaik selesai membaca novel, Joko membiarkan novel itu ke tepi tanpa berbuat apa-apa selama tiga bulan. Setelah itu, baharu lah beliau mula menulis skripnya. Tujuannya supaya tidak terpengaruh dengan novel dalam membangunkan sebuah lakon layar yang hebat.
Bagaimanapun, filem itu tetap setia kepada novel asalnya dari segi genre iaitu thriller.
Katanya lagi, Pintu Terlarang versi filem mendapat sambutan baik di kalangan pembaca novel kerana mereka mahu menonton sesuatu yang baharu.
Tentang novelisnya pula, Ayu Asmara, mempunyai pelbagai jenis bakat seperti menulis lakon layar, mengarah filem, melukis dan menerbitkan muzik.
Selain Pintu Terlarang, dua lagi novelnya bertajuk
“Kembar Keempat” dan
“Doa Ibu”. Manakala karya filem Ayu Asmara seperti
Biola Tak Berdawai, Belahan Jiwa, Selamanya dan
Pesan dari Syurga. Sebahagian daripada filem Ayu Asmara mendapat pengiktirafan di festival filem.